03 Disember 2021

Pelanggan, kakitangan Ikea tidur di dalam kedai akibat ribut salji

 

Pasangan ini mendapat katil yang selesa ketika terpaksa bermalam di Ikea. - Peter Elmrose

COPENHAGEN – Ribut salji lebat yang berlaku pada Rabu lalu di Denmark memaksa sejumlah pelanggan dan kakitangan Ikea tidur di atas katil dan sofa pasar raya Ikea ekoran bencana tersebut menghalang mereka daripada pulang, lapor akhbar Daily Star semalam.

Kesemua 31 orang termasuk enam pelanggan dan 25 kakitangan Ikea terpaksa bermalam di sana selepas salji lebat turun dan menyebabkan pergerakan trafik terhenti sepenuhnya serta memaksa pengangkutan awam ditutup.

Mereka berkumpul di bahagian restoran, menonton perlawanan bola sepak dan rancangan Hari Krismas untuk menghabiskan masa, lapor media tempatan.

Pengurus pasar raya Ikea Aalborg yang juga terpaksa tidur di premisnya, Peter Elmose berkata, ia adalah pengalaman baharu buat dirinya.

“Sudah tentu bukan seperti yang saya sangka,  hari  tersebut akan berakhir seperti itu. Pekerja dapur kami telah memastikan terdapat coklat panas, pastri, minuman ringan dan  kopi untuk menenangkan keadaan.

‘’Jadi, kami dapat panaskan badan. Kami tidak sampai hati meminta  mereka keluar dan mengunci pintu  ketika penutupan pada pukul 8 malam itu. Sama sekali tidak. Jadi, sudah tentu mereka akan bermalam  di sini (pasar raya Ikea).” katanya.

Kesemua ‘tetamu’ tidur di bahagian berlainan pasar raya itu disebabkan pandemik Covid-19. Denmark mencatatkan purata sekitar 4,299 kes  harian Covid-19.

Situasi serupa turut berlaku pada malam itu di lapangan terbang apabila 300 penumpang terpaksa tidur di terminal  kerana penerbangan terpaksa dibatalkan dan bas tidak dapat memindahkan penumpang ke hotel berdekatan.

Pengurus operasi Lapangan Terbang Aalborg, Kim Bermann memberitahu Nordjyske dan agensi berita loca bahawa pihaknya menyediakan 300 helai selimut kepada penumpang yang terkandas.

‘’Kami telah memilih untuk memastikan mereka hangat dan kering di kawasan yang selamat,’’ jelasnya. – Agensi

Tiada ulasan: