29 September 2011

Felda Plantation dicagarkan tanpa restu pengurusan

2 Zulkaedah 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 28 Sept: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) curiga dengan keputusan yang dibuat mesyuarat Lembaga Pengarah Felda yang didakwa dipengaruhi ahli politik yang berkepentingan terhadap Felda.

Lebih menimbulkan persoalan apabila mesyuarat pada Ogos lalu dibuat ketika Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab tiada kerana menunaikan umrah.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, salah satu keputusan penting iaitu mencagarkan keseluruhan tanah Felda Plantation kepada kumpulan pelaburannya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) selama 60 tahun wajar dipertikaikan.

Difahamkan, Dzulkifli tidak dimaklumkan apa-apa sebelum cadangan tersebut dibawa dalam Lembaga Pengarah, dan Lembaga Pegarah bersetuju mungkin atas permintaan ahli-ahli yang sebahagiannya ialah orang politik.

"Apa hak Lembaga Pengarah Felda membuat keputusan demikian?

"Adakah ini bermakna FGVH akan membuat pinjaman berskala besar dengan Tanah Felda Plantation sebagai cagarannya?

"Dan bagaimana keputusna itu boleh dibuat di saat Datuk Dzulkifli tiada dalam mesyuarat?Adakah memang sudah dirancang mesyuarat itu dibuat ketika beliau tiada?" soalnya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia, dekat sini hari ini.

Turut menimbulkan keraguan apabila mesyuarat membuat keputusan  melantik Pengerusi Felda, Tan Sri ISa Samad untuk menerajui Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) atas alasan program penstrukturan semula FGVH.

Ini kerana Isa bukan peneroka, kakitangan kumpulan Felda, isteri dan anak peneroka yang menjadi ahli berdaftar koperasi.

"Adakah pelantikan beliau melalui 'pintu belakang' bagi membolehkan ekuiti KPF bernilai RM398.32 juta iaitu sebanyak 51 peratus dalam Felda Holding dibawa masuk ke FGVH?

"Adakah ini juga membawa maksud Isa akan menguasai aset KPF yang bernilai RM1.17 bilion dan memudahkannya melaksanakan polisi perniagaan tanpa sebarang gangguan? soalnya yang juga  Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembagunan Wilayah PAS Pusat.

Tuntut pendirian kerajaan


Ekoran beberapa keputusan yang dilihat berpihak kepada individu berkepentingan dan mengenepikan nasib peneroka, Anak mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian secara terbuka mengenai keputusan tersebut.

Ini kerana keputusan tersebut dilihat bukan hanya mewujudkan konfrantasi dengan Dzulkifli namun dengan 23 kakitangan kumpulan Felda dan peneroka.

"Perdana Menteri mesti nyatakan pendirian yang jelas mengenai implikasi keputusan ini.

"Anak difahamkan keputusan Lembaga Pengarah ini dipersetujui oleh Menteri yang bertanggungjawab mengenai Felda iaitu Datuk Ahmad Maslan yang didalangi Isa.

"Mereka berdua adalah pengkhianat yang mencampuri urusan Pengarah Besar Felda.Perdana Menteri tidka boleh berdiam diri sahaja," katanya.
H/daily

Tiada ulasan: