29 September 2011

Perkasa desak Sime Darby batal beli saham E&O

2 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Sept — Perkasa mendesak Sime Darby membatalkan rancangan untuk membeli 30 peratus saham syarikat Eastern & Oriental (E&O) Bhd yang disifatkan tidak perlu memandangkan syarikat milik kerajaan (GLC) itu mempunyai kepakaran dalam sektor hartanah.

Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kasim berkata alasan yang diberikan Sime Darby tidak boleh diterima dan dipersoalkan banyak pihak terutamanya berhubung untuk mendapatkan kepakaran E&O.

“Kita harap Sime Darby dapat meneliti semula rancangan itu dan seterusnya membatalkan hasrat untuk membeli saham E&O.

“Kita yakin Sime Darby mempunyai kepakaran dalam bidang hartanah dan tidak perlu untuk mendapatkan khidmat syarikat lain, jadi kita desak Sime Darby memberhentikan pembelian yang tidak wajar ini,” kata beliau selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Sime Darby di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi pembelian 30 peratus saham syarikat E&O oleh Sime Darby dengan kos RM776 juta secara tunai, didakwa 60 peratus lebih mahal daripada harga pasaran sehingga menimbul pelbagai keraguan orang ramai.

Dalam memorandum itu, Perkasa menyifatkan langkah diambil Sime Darby itu satu pengkhianatan kepada amanah yang diberikan.

“Ia juga runtuhnya tanggungjawab moral dan kredibiliti Sime Darby sebagai syarikat terbitan awam, imej buruk terhadap jentera pentadbiran kerajaan kerana gagal memantau perjalanan syarikat terbitan awam supaya menepati kehendak perundangan negara serta amalan profesionalisme.

“Ia juga merupakan pelanggaran tatasusila korporat dan pencabulan undang-undang negara, mekarnya rasuah dan integriti dan terjejasnya usaha kerajaan bagi melakukan transformasi yang menyeluruh dalam semua sektor,” kata Ruslan ketika membacakan memorandum itu.

Selain itu, Perkasa juga menuntut Sime Darby mengemukakan alasan yang bernas tentang rancangan pembelian itu.

malaysian insider/-

Tiada ulasan: