2 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
JEDDAH: Mahkamah di bandar raya ini, semalam menjatuhkan hukuman 10 sebatan kepada seorang wanita rakyat tempatan yang melanggar undang-undang pengharaman memandu.
Shayma Jastaniah didapati bersalah kerana memandu di jalan raya di Jeddah. Dua lagi wanita atas dakwaan sama dijadualkan hadir di mahkamah dalam waktu terdekat.
“Saya masih terkejut dan tidak dapat berfikir dengan waras atas apa yang berlaku. Saya akan merayu terhadap hukuman dikenakan,” katanya.
Dia memberitahu Arab News yang dia memandu hanya sekali iaitu sebelum Manal-al-Sharif, kempen berprofil tinggi wanita memandu yang dihentikan. Shayma mempunyai lesen memandu antarabangsa.
Peguam Shayma, Adnan al-Saleh memberitahu media, anak guamnya menunggu keputusan adil dan telus mengenai isu wanita memandu. Dia berkata, wanita yang memandu tidak dianggap melakukan jenayah mengikut undang-undang Saudi atau ajaran Islam.
“Ini bukan isu berkaitan moral atau adat, mahupun jenayah yang perlu dihukum. Mahkamah kini menganggap mana-mana wanita yang memandu tanpa lesen memandu Arab Saudi telah melakukan jenayah yang perlu dihukum sebat. Ini bermakna, mana-mana wanita yang ditangkap kerana memandu pada masa depan akan menerima hukuman sama atau mungkin dipenjarakan,” katanya.
“Dalam situasi ini, pemandu wanita berhak membuat rayuan dan mengemukakan bantahan kerana ia adalah hukuman berat. Kes akan dipindahkan ke mahkamah rayuan,” katanya. Dia berkata, Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah memberi keizinan supaya wanita mengambil bahagian dalam Majlis Syura dan mengundi serta bertanding dalam pilihan raya majlis perbandaran, tetapi mahkamah Saudi menghukum wanita kerana memandu.
“Bagaimana wanita diizinkan menerajui negara jika dia tidak dibenarkan memandu?,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan