29 September 2011

PAS cadang bawa isu Kg Baru ke antarabangsa

2 Zulkaedah 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR,28 Sept: Jika kerajaan terus berdegil tidak mahu memulihara Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu, PAS akan membawa perkara itu ke peringkat dunia, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar kanan).

"Jika kerajaan terus bersikap keras kepala dengan keengganannya untuk memulihara Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu, banyak lagi yang akan dilakukan dalam pelan tindakan bersama-sama Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) termasuk membawa perkara itu ke peringkat dunia dan bukan setakat isu nasional sahaja.

"Bukan setakat perjuangan demi mengekalkan warisan bangsa Melayu yang semakin pupus, tetapi kami yang terlibat membantu bantahan penduduk Kampung Baru terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 (RUU PPKB 2010) menyifatkan perjuangan itu sebagai pejuangan peribadi kami sehingga dapat diselamatkan Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu," tegas beliau.

Menurut Salahuddin, para pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru menyifatkan kandungan RUU PPKB 2010 jelas cuba memanipulasi mereka dan mereka membantah dengan menaikkan kain rentang di rumah-rumah mereka.

Hasilnya, bacaan kedua rang undang-undang berkenaan telah ditangguhkan pada sesi Mac 2011.

"Tetapi, jika kerajaan terus berdegil dan RUU PPKB 2010 akan dibaca bagi kali kedua di peringkat jawatankuasa, PAS dan SPKB akan menggunakan semua saluran yang sah di sisi undang-undang untuk mempertahankan Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu," tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Beliau juga kesal dengan kegelojohan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melihat Kampung Baru dari sudut keuntungan komersil dan ekonomi semata-mata.

"Pemuliharaan warisan bangsa tidak sepatutnya ditangani secara komersil tetapi ia adalah tanggungjawab sosial kerajaan untuk memulihara warisan bangsa.

"Jika perkampungan Portugis di Ujong Pasir, Melaka boleh dipulihara, mengapa kerajaan BN menunjukkan sikap yang luar biasa rakus terhadap Kampung Baru yang menjadi khazanah warisan Melayu?" Salahuddin mempersoalkan.

Beliau mengingatkan kerajaan supaya jangan terus mengabui mata orang-orang Melayu dengan apa yang didakwa sebagai persetujuan  sebahagian mereka yang telah mengembalikan borang referendum yang diedar oleh kerajaan kepada mereka.

"Jangan gunakan suara minoriti untuk menekan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru supaya tunduk dan menyerah kalah kepada taktik pulas tangan kerajaan (Datuk Seri) Najib (Razak)," katanya.

Salahuddin menyifatkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak bersikap jujur kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru

Menurut beliau, borang referendum itu diedarkan pada Jun 2011 oleh kementerian dengan janji bahawa ia akan dijadikan asas utama untuk menentukan sama ada RUU PPKB 2010 akan diteruskan.

"Pada 17 September menteri wilayah mengumumkan sekali lagi bahawa bacaan kali kedua akan diteruskan pada sesi parlimen Oktober 2011.

"Walau bagaimanapun beliau langsung tidak menyatakan perkembangan referendum yang telah dijalankan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak hairan dengan taktik di luar apa jua ukuran moral itu..

"Kalau kuota Bumiputera pun mereka nak buang, apa nak dihairankan kalau pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru ditipu," katanya.
H/daily

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

monaki - 29092011

Terima kasih kerana bersusah payah memperjuangkan hak kami. Semoga Allah memberkati & berikan kejayaan ke atas perjuangan ini.