22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
SOLAT adalah acuan terbaik bagi membentuk peribadi mulia kerana ia ibadat paling disukai Allah selain menjadi tiang agama Islam. Solat yang khusyuk menunjukkan kerendahan jiwa yang maksimum di depan Allah.
Bermula dengan berada pada kedudukan yang tinggi ketika berdiri, disudahi dengan kerendahan dan kehinaan ketika berada pada penghujung solat dengan keadaan duduk merendahkan diri di hadapan Allah.
Solat membawa pengertian doa terkandung dalamnya zikir dan tasbih memuji kebesaran Allah. Antara zikir paling utama dalam solat ialah tahiyyat yang dibaca dua kali pada rakaat kedua dan terakhir, penuh kepujian terhadap Allah dan Rasul-Nya serta penghormatan kepada hamba yang salih.
Ada berpendapat ia dialog ketika Baginda SAW naik ke langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj.
Sahabat bernama Anas Masud berkata: “Ketika kami bersama Baginda SAW dalam solat, kami menyebut: Assalamu A’lallah (Selamat kepada Allah) lalu diubah Baginda dengan sabdanya: Jangan kamu menyebut Assalam kerana Allah adalah Assalam. Sebutlah Attahiyyatu Lillah, Wassalawat, Wattayyibat (Kesejahteraan, selawat serta kebaikan buat Allah dan Rasul-Nya) hingga akhirnya.
Jika kamu menyebut semua perkataan ini, ia ditujukan kepada semua hamba yang salih di langit dan mereka yang berada di antaranya lalu Allah berbangga dengan kata-kata ini dan memperkenankan doamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika pembesar berasa gembira jika ada yang masuk menghadap dengan penuh hormat dan protokol ditetapkan, maka Allah adalah lebih gembira dan berbangga. Tahiyyat adalah protokol dan penghormatan ketika menghadap Allah dalam solat yang menyatakan ucapan kebesaran dan pengharapan hanya layak dipohon kepada-Nya.
Makna khusus bagi tahiyyat ialah kesempurnaan dan kebesaran hanyalah untuk Allah. Salawat ialah sifat rendah diri dan harapan seorang hamba yang boleh disandarkan hanya kepada Allah, rasul dan orang beriman.
Lafaz ‘tayyibat’ dalam tahiyyat ialah amalan suci dari Allah dan hamba yang salih kerana kesucian dan kebaikan adalah dari sifat Allah seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersifat dengan kebaikan dan kesucian. Dia hanya menerima dari amalan yang baik dan suci saja.
” (Hadis riwayat Muslim)
Firman Allah bermaksud: “Kepada-Nya diangkat segala kebaikan dan kata-kata yang baik.” (Surah Fatir, ayat 10)
Selepas kepujian untuk Allah, maka diarahkan pula puji-pujian kepada Baginda Nabi SAW dengan ucapan yang bermaksud Allah yang memelihara dan memimpin Nabi SAW. Kemudian diucapkan tahiyyat dan salam buat diri sendiri, jemaah solat serta sekalian malaikat.
Ada pendapat mengatakan lafaz ini ditujukan kepada seluruh umat Muhammad SAW. Hamba salih yang dimaksudkan adalah dari manusia dan jin serta malaikat sama ada yang hidup atau sudah mati.
Kemudian disudahi dengan kalimah tauhid yang dibawa semua nabi dan rasul khususnya Baginda selaku penutup segala nabi dan rasul, manusia biasa yang dipilih oleh Allah, ditambah dengan selawat untuk Nabi Ibrahim.
Sahabat pernah bertanya kepada Baginda SAW: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami berselawat kepadamu? Jawab Baginda SAW yang maksudnya: Salam sejahtera kepada Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim dan seluruh keluarganya.” (Hadis riwayat Muslim)
Selepas mengucapkan selawat, maka kita dianjurkan untuk berdoa mengikut keperluan masing-masing. Diriwayatkan Ibnu Masud, Rasul SAW menyuruh berdoa dengan mengikut pilihan masing-masing.
Hadis sahih dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Apabila kamu selesai tahiyyat maka mohonlah perlindungan daripada empat perkara iaitu azab kubur, azab neraka, ujian ketika hidup dan selepas mati, serta Dajjal.”
Demikianlah diajarkan Baginda SAW kepada sahabat sehingga mereka menjadi generasi terpilih di sisi Allah.
Solat membentuk disiplin tinggi dan sikap yang baik dalam kehidupan. Ucapan dalam solat mengajar manusia menuturkan ucapan baik serta menghormati orang lain dan solat juga mengajar manusia mengikuti peraturan ditetapkan.
Solat menjadikan manusia sentiasa merendah diri terhadap sesama makhluk, membina masyarakat cemerlang sementara mengikut imam dalam solat mengajar manusia mentaati pemimpin yang baik.
harian metro/-
1 ulasan:
Salam yb ustaz
Kenapa pada hari ini orang yang solat memandang rendah kepada yang tidak bersolat, sedangkan solat mengajar tentang rendah diri?
Catat Ulasan