21 Disember 2011

Akibat tidak dengar kata

25 Muharram 1433H. [MOD] -

MERSING - Seramai 24 individu termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun, dilaporkan terkandas lebih 36 jam di kawasan Sungai Lembakoh, Taman Negara Endau Rompin Peta, di sini.

Rombongan terdiri daripada 21 warga Singapura dan tiga rakyat tempatan itu, dipercayai gagal keluar dari kawasan tersebut akibat jalan utama ditenggelami air.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Suhairi Hashim berkata, kesemua individu terbabit masuk tanpa kebenaran walaupun diberi amaran oleh pihak pengurusan Taman Negara.

“Taman Negara ditutup sejak 1 Disember lalu daripada kunjungan orang awam kerana cuaca buruk dan pihak kami telah memaklumkan kepada rombongan tersebut mengenai perkara itu. Bagaimanapun mereka tetap bertegas mahu meneruskan perjalanan.

“Mereka dilaporkan memasuki kawasan pada Sabtu lalu, namun gagal keluar ke esokan harinya kerana kawasan terbabit ditenggelami banjir dan mereka terkandas di Sungai Lembakoh Peta,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, rombongan warga Singa­pura itu masuk ke Taman Negara dengan menggunakan lima kenderaan pacuan empat roda melalui jalan sejauh 56 kilometer.

Suhairi berkata, bagaimanapun kesemua mangsa terkandas, dilaporkan selamat dan bekalan makanan mencukupi.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Pemangku Ketua Balai, Ramli Harun berkata, misi menyelamatkan semua mangsa berjaya.

“Mereka diselamatkan bermula jam 11.24 pagi dengan menggunakan helikopter unit udara Bomba dan Penyelamat Malaysia berpangkalan di Subang. Helikopter tersebut selamat mendarat di lapangan terbang pesawat ringan Sri Panta, di sini pada jam 12.25 tengah hari,” katanya.

Ramli turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan kelab radio amatur yang banyak memberi kerjasama dalam memberi maklumat.

Bagaimanapun usaha Sinar Harian untuk menemubual mangsa gagal kerana kesemua mereka terus dihantar pulang ke Singapura menaiki bas.

Sementara itu di Singapura, Kemen­terian Luar (MFA) Singapura mengesahkan sekumpulan 21 warga negara itu yang terkandas di Taman Negara Endau-Rompin di Johor selepas banjir menghalang laluan ke lokasi mereka, berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Malaysia dengan helikopter, tengah hari semalam.

Dalam satu kenyataan menjawab pertanyaan media, MFA berkata, semua warga Singapura berada dalam keadaan sihat.

Jurucakap MFA berkata, pegawai-pegawai dari pejabat Konsul Singapura di Johor Bahru berada di Mersing bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dalam usaha menye­lamatkan warga Singapura itu.

“Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru menyatakan penghargaannya kepada pihak berkuasa Malaysia kerana berusaha membantu warga Singapura yang terjejas akibat insiden itu,” kata jurucakap itu.

Pada masa sama, banjir di negeri ini direkodkan semakin buruk dengan bilangan mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara meningkat.

Laporan portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) merekodkan sebanyak 3,284 mangsa daripada 817 keluarga ditempatkan di 40 pusat pemindahan membabitkan tujuh daerah di negeri ini, sehingga jam 8 malam, semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: