21 Disember 2011

MAS siasat dakwaan sogokan di unit kargo, ketua diarah cuti

25 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Dis ― Syarikat penerbangan nasional MAS, yang dihimpit dengan isu kerugian kebelakangan ini, sedang menyiasat dakwaan unsur sogokan di unit kargonya, turut membawa kepada pengarah urusan MASkargo, Shahari Sulaiman bercuti sejak awal bulan lalu, kata sumber.

The Malaysian Insider difahamkan, laporan siasatan dalaman telah dihantar kepada lembaga syarikat penerbangan nasional meskipun laporan polis tidak dibuat berhubung isu itu.

“Ia berkaitan dengan bayaran sogokan di MASkargo dan lembaga sudah pun mempunyai menerima laporan,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Sumber itu menambah, pengarah urusan baru MAS Ahmad Jauhari Yahya dan pengurusan kanan kini meneliti dokumen melibatkan semua bahagian syarikat itu yang merekodkan kerugian RM1.2 bilion dalam tiga suku tahun kewangan semasa.

MAS tidak dijangka akan memperoleh keuntungan sehingga 2013 meskipun sedang mengusahakan pelan pemulihan bisnes yang baru.

“Mereka sedang membersihkan syarikat. Ini hanya permulaan,” katanya lagi.

Bagaimanapun tidak pasti mengapa MAS tidak membuat laporan polis berhubung isu bayaran sogokan di MASkargo, yang merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM142 juta pada 2010.

Business Times ada melaporkan bahawa Shahari ‘bercuti’ sejak awal bulan lalu selepas dakwaan terbaru mengenai masalah di unit itu muncul.

Lembaga baru MAS memulakan pemeriksaan ke atas semua aspek syarikat penerbangan itu susulan perjanjian pertukaran saham antara MAS-AirAsia awal Ogos lalu.

Difahamkan, siasatan sudah dimulakan dan inkuiri dalaman juga diadakan, tetapi dakwan baru membawa kepada siasatan ini.

Shahari dinamakan sebagai pengarah urusan unit itu pada 1 September 2007 menggantikan Datuk Ong Jyh Jong.

Sebelum itu Shahari merupakan pengurus besar bahagian operasi kargo di MASkargo.

Di bawah pengurusan Shahari, MASkargo memenangi anugerah “Best Air Cargo Carrier in Asia” di Hong Kong pada 2009.

MALAYSIAN INSIDER/-

Tiada ulasan: