21 Disember 2011

Pahang gagal jana sumber hasil negeri

25 Muharram 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 21 Dis: Rakyat sepatutnya tidak terpengaruh dengan propaganda hanya BN boleh memerintah dan mengurus kerana selama ini prestasi parti itu menunjukkan sebaliknya termasuk di Pahang.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan (gambar) berkata, ini terbukti dengan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Pahang yang menunjukkan tidak berlaku peningkatan serta anak-anak syarikat kerajaan negeri banyak yang rugi.

Nasruddin yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, dulu ada anak syarikat kerajaan yang dikira mampu membuat untung iaitu Pahang Cement yang memegang 51% saham.

“Tetapi syarikat yang punyai prospek itu kemudiannya dijual semua sahamnya kepada takan kongsinya YTL kini bertukar menjadi YTL Cement. Apabila projek yang untung dan sangat berpotensi pada masa depan itu dijual sedangkan simen merupakan produk keperluan utama untuk pembangunan.

“Ada juga projek lembu tenusu di ladang seluas 446 hektar milik anak syarikat kerajaan negeri, bayangkan syarikat yang membuat cagaran bank RM20 juta itu hanya mengeluarkan dadih dijual di pasar malam.

“Mak saya buat dadih modal RM150 saja, kenapa ladang sebesar itu yang diberikan oleh anak syarikat kerajaan negeri hanya usahakan dadih?

“Mana pelan pasal projek itu dulu, kenapa tidak diusahakan jadi susu tepung?” soal Nasruddin.

Nasruddin berkata, pelabuhan Kuantan yang dulu milik anak syarikat kerajaan negeri turut terlepas kepada pihak lain.

Berceramah di majlis anjuran Pemuda PAS Temerloh di Kampung Chatin di sini, Nasruddin berkata, pendapatan kerajaan negeri juga cukup mengecewakan.

“Dalam bajet yang dibentangkan menteri besar baru-baru ini kerajaan hanya peruntukkan lebih kurang RM69 juta perbelanjaan pembangunan dari sumber negeri tetapi terpaksa meminjam lebih RM54 juta dari Kerajaan Persekutuan.

“Ini bermakna Kerajaan BN Pahang gagal menjana sumber kemewahan hasil yang ada menyebabkan hutang negeri sudah menjangkau RM2.3 bilion. Inikah yang dikatakan pandai memerintah?” soalnya.

Sementara itu, kira-kira 300 pendengar yang hadir terpukau menonton filem pendek “Oleyy!” karya Pemuda PAS Pusat.

Mengenai filem yang popular di internet itu, Nasruddin berkata ia merupakan filem pendek ke 17 di dunia paling ramai ditonton dalam talian dan pada hari pertama pelancaran sahaja iaitu pada 15 Disember ia sudah ditonton oleh lebih 150,000 pelayar internet.

Turut berceramah Ketua Lajnah Kebajikan Negeri, Hassanuddin Salim, Setiausaha Pemuda PAS Pahang, Junaidi Ishak dan Bendahari DAP negeri, Woo Chee Wan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: