21 Disember 2011

Bot karam dipukul ombak

25 Muharram 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH - Seramai lapan nelayan warga Vietnam hampir maut apabila bot yang dinaiki mereka dipukul ombak besar ketika memasuki Muara Tok Bali di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim, Daerah Maritim Tok Bali, Komander Maritim Zainin Abd Majid berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 150 meter dari muara itu disedari orang awam kira-kira jam 10.30 pagi sebelum melaporkan ia kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

“Bot KNF 7847 itu dipercayai keluar untuk menangkap ikan pada 1 Disember lalu dan setelah 19 hari di laut, mereka pulang dan dalam perjalanan ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali untuk membawa hasil tangkapan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, semua mangsa berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun sempat bertarung nyawa selama setengah jam sebelum diselamatkan, bagaimanapun kesemuanya selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zainin berkata, mereka yang terlibat ialah Nguyen Van Tinh, 46, Fham Thanh Tu,25, Ngiyin Tmlong Du, 34, Nguyin Vam Tam,22, Fhum Thnuh Tuan, 25, Danh Thiiong, 21, Nguyen Van Liet, 36 dan Danh Chung, 24.

Beliau berkata, kejadian itu kerugian dianggarkan RM700,000 dan semua barang dalam bot berkenaan tidak dapat diselamatkan.

“Operasi menyelamat ini melibatkan bot Penyelamat Tujuh yang diketuai oleh BK Maritim Juhari Ab Rahim, dan Kilat 28 yang diketuai BM Maritim Azahar Hussin.

“Manakala daripada Pasukan Gerakan Marin (PGM) pula diketuai oleh Inspektor Yaakub Pairuk menggunakan bot PSC (Penyengat 16),” katanya.

Zainin berkata, tujuh daripada mangsa diselamatkan APMM manakala seorang lagi PGM sebelum dibawa ke Jeti Operasi APMM Tok Bali.

Beliau berkata, semua mangsa diserahkan kepada pemilik mereka untuk tindakan selanjutnya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: