27 Januari 2012

Anggota bomba pun diugut bunuh

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU - Gara-gara bomba gagal menyelamatkan rumah dan harta benda penduduk daripada musnah akibat kebakaran, seorang anggota bomba pernah diugut bunuh dan dicederakan.

Insiden itu menimpa Ariffin Harris dua kali ketika ditugaskan di Sandakan dan Tawau apabila penduduk di kawasan setinggan marah kerana pasukan bomba gagal mengawal api daripada terus merebak sehingga penduduk berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

"Saya cuba jelaskan kepada mereka misi utama bomba dalam sesuatu kejadian adalah untuk menyelamatkan nyawa. Lagipun, harta benda boleh dicari.

"Saya hampir berputus asa dalam kerjaya saya kerana penduduk tidak mengerti. Tetapi saya terpaksa tabah kerana perasaan kemanusiaan saya terhadap orang ramai," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima Sijil Khas Perkhidmatan 30 tahun dalam Jabatan

Bomba dan Penyelamat sempena Majlis Perhimpunan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah di sini hari ini.

Ariffin, 55, yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sembulan di sini, merupakan salah seorang daripada 35 penerima sijil khas itu.

Beliau tidak menafikan perasaan simpati terhadap penduduk yang hilang tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran.

Namun, selama lebih 35 tahun berkhidmat dalam jabatan itu, beliau kesal masih ramai yang memandang ringan terhadap aspek keselamatan diri dan harta benda, termasuk kecuaian individu tertentu sehingga memberi kesan buruk kepada orang lain.

Terdahulu, Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata Sabah tidak terkecuali daripada bencana disebabkan manusia atau 'man-made disaster' dengan mengambil contoh kejadian kereta api penumpang berlanggar dengan sebuah lori pengangkut minyak petrol pada 31 Oktober lepas.

"Walaupun tiada kejadian kehilangan nyawa berlaku, namun kita seharusnya menerima pengajaran penting daripada peristiwa itu.

"Apabila kita selalu tidak patuh kepada amalan yang baik, kita akan terbiasa dengan sikap tidak memberi perhatian kepada perkara penting dalam aspek keselamatan sehinggalah kita ditimpa bencana," katanya.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Nordin Pauzi. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: