27 Januari 2012

Rombakan kecil suntik semangat baru

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Rombakan itu tidak memberi masalah kepada PAS memandangkan Islam adalah relevan dan bukan hanya membabitkan portfolio Hal Ehwal Agama Islam semata-mata.

SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad menegaskan rombakan kecil portfolio Exco kerajaan negeri baru-baru ini berjaya menyuntik semangat baru agar PAS negeri melipatgandakan usaha bagi menambah sokongan rakyat terhadap parti.

Beliau berkata rombakan itu tidak memberi masalah kepada PAS memandangkan Islam adalah relevan dan bukan hanya membabitkan portfolio Hal Ehwal Agama Islam semata-mata.

Dalam rombakan kecil pada 18 Januari lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam manakala Exco baru, Dr Abdul Yunus Hairi diberi portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

“Rombakan kecil itu sedikit pun tidak menjejaskan peluang PAS untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti,” tegas Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam pada sidang media di Pejabat Khidmatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun PAS tidak memegang jawatan exco agama, ia tidak menjejaskan parti memandangkan PRU ke 13 semakin hampir.

PAS ganti Umno

“Kita akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan insya’Allah akan menang 20 kerusi itu melalui kepimpinan PAS negeri yang baru ini. Tema kita ialah PAS ganti Umno.

“Tindakan Menteri Besar mengambil alih portfolio itu dan memberi PAS exco belia dan sukan memberi ruang yang luas untuk kita terokai bagi meningkatkan sokongan.

“Ia bukan satu masalah. Islam ini bukan hanya tentang exco Hal Ehwal Agama semata-mata…..tapi semua adalah relevan,” terang beliau.

Sebelum rombakan kecil itu, Adun Gombak Setia dan juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Hasan Ali memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Sokongan terhadap PAS semakin utuh

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor dan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman menyifatkan sokongan orang Melayu kepada PAS semakin utuh.

Keyakinan ini turut disokong oleh Ketua Pemudanya, Hasbullah Mohd Ridzuan yang menyatakan bahawa tanggungjawab baru yang digalas Dr Yunus akan menyerlahkan PAS dalam cabang berbeza.

“Kita menjangkakan sokongan dan undi untuk PAS akan bertambah dan bukan semakin kurang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS negeri Khairuddin Othman berkata, pihaknya menerima laporan dari 22 kawasan bahawa prestasi parti tidak akan terjejas ekoran tindakan Hasan Ali yang kini hebat mengkritik parti sejak dipecat.

Menurut beliau, jentera PAS negeri semakin kuat dan usaha menghadapi PRU sedang dipertingkat sekaligus mematikan andaian bahawa parti akan lumpuh dengan serangan Hasan Ali.

“Mereka yang rasa PAS akan lumpuh itu silap. Kami tumpu pada gerak kerja yang ramai. Malah mesyuarat merekodkan sokongan penuh kepada PAS Selangor dan Pusat.

“PAS Selangor akan terus stabil sepertimana yang sedia ada,” ujarnya.

free malaysia today/-

Tiada ulasan: