27 Januari 2012

Yang mustahil masa BN tidak mustahil masa Pakatan

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN, 27 Jan: Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, apa yang mustahil di zaman Barisan Nasional, tidak semestinya mustahil di zaman Pakatan Rakyat terutama masalah tanah.

“PR yakin dengan tindakan bersepadu antara semua agensi berkaitan, kita mampu mengatasi masalah tapak rumah dan isu tanah yang menjadi isu utama rakyat.

"Segalanya bermula dengan niat dan kesungguhan, dengan niat dan kesungguhan, barulah jalan baru akan ditempohi dan dicari sehingga mencapai hasrat yang diinginkan. Jika tanpa niat dan kesungguhan, mustahil kini manusia dapat menikmati kemudahan kapal terbang dan juga menjelajah ke bulan,” kata beliau, yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub yang mendakwa janji PAS Pahang bahawa setiap rakyat di negeri ini akan mendapat tanah untuk lot rumah sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri pada PRU-13 nanti adalah mustahil dilaksanakan.

Ini adalah kerana Pahang kini hanya mempunyai kira-kira 100,000 hektar atau tiga peratus tanah sahaja yang boleh digunakan daripada 3.6 juta hektar tanah di seluruh negeri.

Membalas kenyataan Adnan, Tuan Ibrahim berkata janji Azam, niat ikhlas dan keyakinan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat yang belum mempunyai rumah dan menyelesaikan masalah tanah yang telah diusahakan puluhan tahun belum mendapat hak milik di Pahang bukan lahir dari angan-angan atau dibuat tanpa asas, tetapi setelah hasil kajian mendalam oleh pelbagai pihak.

Disebabkan adanya niat dan kesungguhan tersebut, Tuan Ibrahim berkata PR telah membuat keputusan untuk membuka Felda plantation seluas 143,000 hektar di Pahang untuk membolehkan pemberian tanah dan tapak rumah kepada lebih 40,000 orang peneroka.

Disebabkan adanya niat dan kesungguhan tersebut juga, tambah beliau PR juga telah memikirkan cara untuk membuka kawasan penempatan baru, dan pemberian hak milik kepada penduduk yang mendiami tanah tol sebagai tapak rumah.

“Namun, harus diingatkan, apa yang mustahil di zaman BN, tidak semestinya mustahil di zaman PR. Sudah semestinya, bagi pihak berkuasa yang tiada mempunyai niat dan kesungguhan sedemikian, mereka pasti melihat perkara ini sebagai mustahil dilaksanakan dan ancaman kepada kekuasaan mereka,” tegasnya lagi.

Sebagai contoh perkara mustahil yang didakwa BN yang telah berjaya dilaksanakan PR, kata beliau ialah pemberian tanah kepada rakyat ketika PAS memerintah Terengganu dan juga pemberian air percuma di Selangor, yang didakwa BN bakal membangkrapkan negeri terkaya tersebut.

“Semua dapat dilaksanakan atas niat dan kesungguhan PR,” tegas beliau.

Walaubagaimanapun, Tuan Ibrahim mengakui bukan mudah untuk memberi tanah kepada semua penduduk 1.5 juta dan buat masa ini, mungkin ia dilihat sebagai di luar kemampuan.

Akan tetapi, katanya, dengan niat, azam dan kemampuan mentadbir PR, PAS yakin mampu menyelesaikan sebahagian masalah tapak rumah untuk rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah tapak rumah.

Sebagai perbandingan mudah, Tuan Ibrahim mengambil isu Felda seperti yang tertera di dalam buku Jingga di mana PR berjanji untuk memasukkan peneroka di semua ladang Felda berbanding kerajaan BN yang secara sewenang-wenangnya bersetuju memajak ladang kepada FGV selama 99 tahun tanpa memikirkan nasib peneroka.

“Kalau kerajaan Pahang Barisan Nasional yang diketuai Adnan sanggup memberikan ribuan hektar tanah kepada pelbagai pihak samada perladangan, perkilangan atau pelancongan, malah tanah kepada tapak kepada sebuah kilang Lynas yang menghasilkan sisa radioaktif yang bakal membawa bala besar kepada rakyat Kuantan dan Gebeng – mampukah PR memberikan tapak rumah kepada rakyat?

"Sudah tentu ya! Walaupun ada niat dan kesungguhan daripada pihak PR, semuanya tidak akan terjadi tanpa niat dan kesungguhan rakyat Pahang untuk berubah. Ayuh rakyat Pahang, berubahlah ke zaman PR untuk ‘Selamatkan Pahang!’” tegas beliau.

Harakah Daily

Tiada ulasan: