3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
Perkembangan mutakhir menunjuk tawaran yang disebutkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat sebelum PRU ke 13 terus dipertikai oleh pemimpin BN. Realitinya serangan ini bagi saya merupakan bukti betapa tawaran yang dilakukan PR adalah berasas dan membimbangkan musuh politik PR.
Bagi saya tawaran PR bukan sekadar tawaran politik namun satu tanggung jawab kerajaan yang telah dinafikan sekian lama. Selepas 54 tahun negara merdeka ternyata BN masih gagal memperkenal dan meneruskan dasar membela rakyat seperti yang diwar-warkan.
Kerana itulah mereka sangat bimbang bila mendengar tawaran PR yang mahu membela rakyat dan mula menyerang tawaran PR dengan alasan yang lapuk dan tidak masuk akal.
Terkini saya merujuk kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat mahu melupuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bila berkuasa di Putrajaya diulas oleh pemimpin BN dengan katanya lebih bersifat janji politik semata-mata dalam usaha mereka untuk meraih sokongan generasi muda. Demikian kenyataan Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said.
Beliau juga berkata, rakyat perlu sedar bahawa pihak Pakatan Rakyat kini akan menabur pelbagai janji dalam usaha mereka meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat janji itu sebenarnya tidak berpijak di bumi nyata." Katanya juga Ahli Parlimen Kuala Krau selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada 233 penduduk Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau di sini kelmarin.
Ucapan Ismail nampaknya menampakkan sosok tubuh dirinya sendiri yang membuktikan bahawa Ahli parlimen BN tidak mengikuti perkembangan semasa atau beliau sengaja memejamkan mata kepada realiti yang ada dengan tidak peka dengan pelbagai dasar Kerajaan BN yang telah di tiru dari cadangan asal yang dibuat oleh Pakatan Rakyat termasuk dalam Buku Jingga.
Begitu juga kenyataan yang berlaku kepada pelbagai dasar Kerajaan Pusat yang terlebih dahulu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah PAS dan dilaksanakan untuk peringkat kebangsaan.
Dasar cuti 2 hari seminggu dan Cuti bersalin adalah antara dasar Kerajaan Kelantan yang telah ditiru oleh BN. Walaupun Kelantan di label dengan berbagai tomahan namun akhirnya dasar itu diguna pakai di peringkat Pusat.
Saya kira golongan muda termasuk mereka yang meminjam dengan PTPTN sangat faham dengan kemampuan kerajaan untuk melupuskan pinjaman mereka bila PR berkuasa . Demikianlah hasrat sebenar PR kerana itu adalah tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
Mereka sangat faham dengan ucapan Ismail yang semacam menggelabah bagi mempertahankan kuasa BN yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan.
Sebenarnya BN lah yang sepatutnya bercakap mengenai pelupusan pinjaman PTPTN kerana mereka sendiri yang bercakap mengenai kononnya dengan slogan rakyat didahulukan.
Namun kenyataan Ismail membuktikan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk mengembalikan dasar pendidikan percuma yang pernah satu masa dulu mampu dilakukan oleh Kerajaan BN.
Oleh itu PR menawar sesuatu untuk menjadi pilihan kepada rakyat , semuga PR terus menjadi harapan rakyat Malaysia untuk keluar dari kepompong politik sempit BN yang telah sekian lama mengkhianati amanah yang diberikan selama ini.
DRS. KHALIL IDHAM LIM
Parit Buntar ,27 Jan 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan