|
Tiada apa yang ada di bahu kiri dan kanan jalan kecuali batuan besar berwarna hitam kelabu. Ibarat kata rakan penulis, batuan yang berselerak di segenap sudut jalan seolah-olah menggambarkan ia seperti 'dicampak' dari langit.
Ya, penulis merasakan seperti 'terperangkap' dalam dunia hitam putih biarpun hampir sudah setahun ia berlalu. Sesungguhnya, muntahan isi perut dan semburan awan panas Merapi telah mengubah atmosfera wilayah itu menjadi tandus dan kering.
"Dulu, sepanjang jalan di sini terdapat banyak rumah namun, selepas Merapi meletus, tiada apa-apa yang tinggal kecuali rangka rumah dan beberapa batang pokok," kata pemandu pelancong kami, Ardi, 40-an, yang tiba-tiba menyergah lamunan kami yang sedang larut memerhati keadaan sekeliling dari dalam van dipandunya.
Seawal perjalanan, anak jati Yogyakarta yang bersusuk sederhana itu berat untuk berkata-kata. Apabila dia bersuara, penulis percaya dari lubuk hatinya yang terdalam, dia menyimpan satu kisah duka tentang Gunung Merapi.
Penulis lantas bertanya tetapi, Ardi sedikit pun tidak bertindak balas. Penulis kemudian menoleh ke arahnya. Ternyata, ada raut kepiluan di wajah Ardi. Melihat keadaan itu, niat tadi terus dilupakan.
Seketika kemudian, dengan nada serak-serak basah Ardi berkata: "Maaf, sehingga kini saya tak tahu di manakah saudara-mara saya, adakah mereka sudah hidup atau mati? Nafas saya hampir terhenti ketika itu. Tragedi itu bukan momokan. Ia seolah-olah sedang membunuh jiwa saya secara perlahan-lahan."
Ardi terus merintih. Hatinya bagaikan sedang menjerit. Kami memberinya ruang waktu untuk meluahkan rasa yang terpendam. Pada perenggan terakhir, dia menitiskan air mata. Kami yang terbuai dengan cerita sedihnya, kaku seketika.
Ya, bukan sahaja Ardi tetapi, perasaan lelaki itu turut dikongsi dengan ribuan penduduk yang tinggal berdekatan dengan gunung yang berketinggian 2,968 meter (m) itu.
Letusan Gunung Merapi yang menghamburkan debu dan awan panas pada 26 Oktober 2010 sememangnya telah mengejutkan seluruh alam semesta.
Penangan gunung yang telah meletus sebanyak 69 kali semenjak tahun 1548 bukan calang-calang. Kalau tidak, masakan ia mendapat jolokan sebagai 'gunung berapi dekad ini'.
Akibat amukan gunung berapi aktif di Indonesia itu, 353 mangsa menemui ajal termasuk menghentikan denyut nadi seorang wartawan, Yuniawan Wajyu Nughroho yang berkhidmat di Vivanews.com.
Bagaimanapun, yang paling menggamit perhatian umum ialah cara jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan menghembuskan nafasnya. Kematian 'perwira' yang dipuja di Jawa Tengah itu mencetuskan kegemparan apabila jenazahnya dijumpai dalam keadaan bersujud.
Jual VCD
Sudah hampir setahun lebih peristiwa ngeri itu berlalu. Sebenarnya, mengikut perancangan asal, penulis bersama rakan-rakan lain ke kota pelancongan, Yogyakarta semata-mata untuk bertemu setelah sekian lama tidak bersua.
Bagaimanapun, penceritaan salah seorang pekerja hotel di sana tentang keadaan terkini gunung itu telah menyalakan ghairah kami untuk ke sana.
Jarak dari bandar Yogyakarta ke kawasan Gunung Merapi kira-kira 40 kilometer (km). Justeru, kami memutuskan untuk mendapatkan khidmat pemandu pelancong, Ardi.
Kami dibawa melewati kesan Merapi di kaki gunung terlebih dulu. Sulit untuk penulis menggambarkan bagaimana wilayah itu.
Namun, cuaca yang mencecah hampir 38 darjah Celsius ketika itu mendorong penulis berfikir bahawa Yogyakarta umpama baru dilanda perang yang dahsyat.
Kediaman hampir lenyap, yang bertahan cuma beberapa pokok kelapa yang boleh dihitung dengan jari. Terdapat dusun buah-buahan di zon itu sebelum ini. Namun kata Ardi, ia telah menjadi rata dek lahar, lumpur dan batu-batu yang dimuntahkan oleh Merapi.
Ribuan manusia yang sebelum ini melayari hidup dengan penuh kegirangan di kampung-kampung di kaki gunung sudah lari entah ke mana. Wilayah itu begitu sugul.
Kami mengecilkan langkah. Ardi pula mengasingkan diri. Dia dilihat seperti sedang bertafakur.
Nampaknya, musibah yang berlaku telah membangkitkan keberangan penghuni di sana. Ia dapat digambarkan dengan luahan perkataan 'korupsi pembawa bencana' yang terpampang di dinding tinggalan runtuhan bangunan.
"Ibu, belilah VCD (cakera padat video) Mbah Maridjan ini, dia sudah meninggal tapi kenangan Mbah ada dalam VCD ini," kata seorang wanita yang tiba-tiba muncul di hadapan kami seraya memegang VCD bertajuk Dahsyatnya Erupsi Merapi Lahar Dingin 2010-2011.
Kata rakan penulis, Inggried Dwi Wedhaswary, kebanyakan penghuni yang tinggal sehelai sepinggang terpaksa menggunakan pendekatan seperti itu demi kelangsungan hidup.
Bangkit
|
|
Jejak kami diteruskan ke puncak Gunung Merapi. Angin langsung tidak menyapa. Itu semua kerana tumbuhan hijau yang tumbuh melata dan hidup subur sebelum ini sudah hilang dari pandangan.
Kesungguhan penghuni kaki gunung itu menyebabkan penulis mengakui mereka menemui semangat baharu untuk meneruskan hidup.
Mereka tidak terus-menerus meratapi kesedihan. Setiap penghuni mempunyai iltizam yang sungguh luar biasa.
"Mengapa tidak kami bangunkan kawasan ini, sebelum ini gunung ini sudah terkenal dalam kalangan pendaki dan selepas ia meletup, ia makin popular dan kami boleh mencari rezeki dengan itu.
"Kami berbangga untuk menonjolkan kepada dunia bahawa kami adalah penghuni gunung berapi teraktif di dunia yang berusia lebih 400,000 tahun," kata seorang penduduk yang terselamat, Aden, 31.
Kami diminta membayar yuran RM1 oleh penduduk yang dilantik sebelum menuju ke puncak. Kutipan tiket kata Aden, adalah untuk memenuhkan dana Jasa Pengelolaan Wisata Alam Erupsi Merapi 2010.
Jika berhasrat untuk melihat lebih dekat puncak dan tapak bekas rumah Mbah Maridjan pula, pengunjung perlu membayar RM7 untuk mendapatkan perkhidmatan motosikal.
Ada yang lebih menarik perhatian di sana. Penduduk dilihat bertungkus lumus menyiapkan sebuah masjid bagi menggantikan Masjid Al Amien yang musnah akibat letusan.
Untuk mengenang mangsa korban pula, penduduk membangunkan sebuah galeri menempatkan gambar-gambar mangsa yang terkorban. Ya, ada wajah kegembiraan dalam kalangan penjaja apabila mereka dikerumuni dengan ramai pelancong.
"Kisah sedih ini tidak akan hilang begitu saja. Kami yang masih menetap di lereng gunung ini bukan bererti menyerah diri untuk mati. Kita bertekad untuk mendengar kata pemerintah sekiranya ditakdirkan berlaku sekali lagi bencana," kata Aden yang memboncengkan penulis ke rumah Mbah Maridjan.
Kosmo/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan