09 Januari 2012

Lintas Langsung Mahkamah Jalan Duta (1) : Video 'Amanat' Anwar: Ribuan banjiri ibu negara

15 Safar 1433H. [MOD] -



Ribuan membanjiri Kampung Baru di ibu negara malam tadi bagi mendengar 'amanat terakhir' Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum nasibnya ditentukan mahkamah hari ini.

Ditemani pemimpin tertinggi pembangkang, dianggarkan 5,000 memenuhi padang Kelab Sultan Sulaiman bagi menunjukkan sokongan kepada Anwar yang dituduh meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Malah, keadaan sesak menyebabkan ada yang terpaksa duduk di anak tangga bangunan berkenaan untuk tidak melepaskan peluang menatap wajah pemimpin kesayangan mereka -- yang menghadapi kemungkinan dihukum penjara.

Jumlah kehadiran yang besar didorong juga dengan kemasukan penyokong daripada luar yang mula memenuhi Kuala Lumpur sejak awal petang semalam untuk menghadiri perhimpunan besar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada jam 7 pagi hari ini.

Sokongan itu menyebabkan Anwar yang juga ketua Umum PKR memberikan ucapan penuh semangat, sekali gus dilihat pasrah akan kemungkinan yang bakal dihadapinya hari ini.

Sambil berseloroh, Anwar berkata, sekiranya Pakatan menang dalam pilihan raya umum akan datang dan membentuk kerajaan, beliau yakin akan dibebaskan.

"Malam ini kita menang, selamatlah saya, apa susah sangat," katanya disambut tepukan dan sorakan gemuruh daripada orang ramai.

Pada saat-saat terakhir menjelang keputusan yang dinanti-nantikan hari ini, Anwar mendedahkan anggota keluarganya meluahkan kebimbangan beliau dipukul seperti dalam perbicaraan kes liwat pertama yang melibatkannya sebelum ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau menjawab perkara tersebut "tidak mungkin berlaku" lagi.

Ucapannya juga turut diiringi dengan ucapan takbir, reformasi dan lawan slogan popular pembangkang "lawan tetap lawan".

Turut hadir berceramah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Anwar dan puluhan pemimpin PKR sebelum ini giat menjelajah ke seluruh negara bagi menggerakkan sokongan terhadap perhimpunan "Bebas Anwar 901" .

Berita asal: Malaysiakini.

Ribuan juga bersama Anwar di padang Kelab Sultan Sulaiman


Ketua Pembangkang yang juga ahli parlimen Permatang Pauh, Anwar Ibrahim sedang berucap di hadapan lebih LAPAN RIBU hadirin dan rakyat yang bersama bersolidariti dengan pimpinan Pakatan Rakyat di perkarangan dan padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di ibu negara.

Anwar yang kelihatan berbaju kemeja putih dikawal ketat oleh sekumpulan pengawal peribadi yang ditugaskan khas menjaga keselamatannya susulan daripada insiden yang berlaku ke atas pengawal peribadinya yang mengiringi isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail di Cherok Tok Kun, Permatang Pauh, malam tadi.


Ribuan rakyat turun membanjiri padang sejak seawal jam 7 malam untuk menantikan ketibaan Anwar yang disambut oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang turut mengadakan acara "Grand Final" di Kampung Pandan yang terletak lebih kurang enam kilometer dari Kampung Baru.


Dalam ucapannya, Anwar jelas sama sekali tidak gentar dengan penguasa zalim yang mahu memenjarakannya kerana perjuangannya bukan terbatas dari dalam penjara tetapi apabila rakyat sudah bangun menentang kezaliman, rejim Mesir yang diketuai bekas presiden Hosni Mubarak yang kuat pun boleh dikalahkan.

Tambahnya lagi, kekuatan sebenar dirinya adalah dari dalaman yang teguh berpaksikan keimanan dan perjuangannya bak membujur lalu melintang patah, sekali mara tidak akan undur.


Terdahulu, Anwar menyertai ratusan jamaah lain menunaikan solat hajat di kediamannya di Bukit Segambut yang diketuai bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya.


Sumber: Jalan Pulang dan Pink Turtle

Tiada ulasan: