05 Januari 2012

Lebih 10 motosikal diangkut

11 Safar 1433H. [MOD] -

JITRA - Gara-gara gagal mengikut peraturan meletakkan kenderaan dalam petak disediakan, lebih 10 motosikal di sekitar Pekan Jitra di sini, diangkut anggota penguat kuasa Majlis Daerah Kubang Pasu, semalam.

Operasi Angkut Motosikal yang pertama kali dibuat Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) itu bermula jam 10 pagi dengan mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap motosikal yang menghalang lot parkir kereta orang awam.

Ketua Penguat kuasa, Tunggakan Hasil dan Parkir MDKP, Zakariya Ahmad berkata, pihaknya terpaksa mengenakan tindakan berkenaan berikutan lebih 20 aduan orang awam diterima mengenai halangan motosikal di tempat letak kereta yang diwartakan.

Menurutnya, kira-kira 1,000 petak letak motosikal yang disediakan MDKP secara percuma sekitar Jitra dan Bandar Darulaman Jaya sejak tiga tahun lalu tidak dimanfaatkan, sebaliknya menggunakan petak parkir kereta.

“Kita kecewa kerana tempat parkir motosikal yang disediakan kira-kira 1,000 petak di sini, gagal digunakan sebaik mungkin.

“Malah, pemilik motosikal lebih cenderung meletakkan kenderaan mereka di petak kereta,” katanya kepada pemberita selepas turut serta dalam operasi selama dua jam sekitar Pekan Jitra Dua dan Tiga di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pemilik motosikal yang diangkut semalam dikenakan kompaun RM30 hingga RM50 dan kesalahan meletakkan motosikal atas lot parkir yang menjadi halangan itu mengikut Seksyen 46(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Justeru, MDKP berkuasa pindah halangan mengikut Seksyen (3)(a) iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengarahkan supaya halangan itu dipindahkan,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihaknya turut mengenal pasti halangan lot parkir kereta melibatkan penjaja kecil yang menggunakan pikap menjual makanan dan minuman selain longgokan kotak di kawasan terbabit.

“Kita harap selepas tindakan penguatkuasaan ini, pemilik motosikal akan lebih berhati-hati ketika meletakkan kenderaan mereka di petak yang disediakan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: