05 Januari 2012

Kumpulan curi kereta tumpas

11 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Polis menumpaskan kumpulan curi kereta dikenali sebagai Geng Wish dengan tertangkapnya dua lelaki dalam serbuan yang dibuat di sebuah rumah teres di Jalan Badam 1, Taman Cheras, pada 22 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 11 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam premis yang disewa suspek menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk mencuri kereta.

Menurutnya, antara barang yang ditemui di bahagian ruang tamu rumah termasuk tiga pasang plat nombor kenderaan termasuk satu palsu, pemutar skru, pemutar tayar, batang pahat, batang pengikis, nat tayar, radio amatur serta parang.

“Turut kita rampas dua kere­ta disyaki dicuri masing-masing jenis Toyota Wish warna hitam yang dilaporkan hilang di Wangsa Maju dan Toyota Wish berwarna perak dilaporkan hilang di Pusu.

“Kedua-dua kereta dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000 itu ditemui diletakkan di halaman rumah sewa suspek,” katanya pada sidang akh­bar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi digunakan suspek adalah dengan menyasarkan kereta Toyota Wish yang tiada sistem penggera keselamatan, sebelum memecahkan cermin kecil pintu depan pemandu dan membuka pintu depan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: