05 Januari 2012

Tak berbaloi curi besi RM40

11 Safar 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Akibat mencuri besi bernilai RM40, seorang buruh dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Maseeri Abu, 32, dari Pantai Kundor, Tanjung Kling, mengaku bersalah atas tuduhan itu di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.

Berdasarkan pertuduhan, Maseeri didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas mencuri besi dan bekas mesin, dianggarkan bernilai RM40 kepunyaan kilang biskut Lim Chia Heng di dalam bangunan kilang berkenaan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta di Jalan Pulau Gadong, kira-kira jam 3.30 petang pada 29 Disember 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Terdahulu, tertuduh ketika rayuan memohon mahkamah meringankan hukuman kerana hanya memperoleh pendapatan RM300 hingga RM400 sebulan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron yang mengendalikan kes meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal kerana Maseeri mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan di Tanjung Kling pada 2004.

Ida Rahayu kemudiannya memerintahkan Maseeri dipenjara 12 bulan bermula daripada tarikh dia ditangkap iaitu pada 29 Disember 2011.

Sementara di mahkamah yang sama, seorang pengawal keselamatan menerima hukuman penjara empat bulan kerana menikam rakan sendiri selepas mabuk.

N Murgen, 40, dari Kuantan, Pahang, mengaku bersalah atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap S Appannan, 39, dengan menggunakan sebilah pisau di Jalan Melaka Raya 23, Taman Melaka Raya, kira-kira jam 2.45 pagi pada 28 Disember 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dalam rayuannya Murgen berkata, perbuatannya tidak disengajakan, selain memberi alasan menanggung tiga anak yang masih bersekolah.

Ida Rahayu kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap Murgen.

Sinar Harian

Tiada ulasan: