05 Januari 2012

Laluan orang minyak dipagar

11 Safar 1433H. [MOD] -

GOMBAK - Sudah 16 hari berlalu, namun serangan orang minyak di Kampung Laksamana, Batu Caves masih berterusan berlaku.

Pelbagai ikhtiar dibuat bagi mengatasi gangguan, bagaimanapun kejadian pelik terus berlaku terutama dalam tempoh waktu malam hingga ke pagi.

Kaedah untuk mengatasi masalah gangguan orang minyak diteruskan dan kelmarin, satu majlis tahlil khas diketuai Ustaz Kamaruzaman Abdul Rafar dilakukan di sebuah rumah di Jalan Laksamana 1.

Kamaruzaman hadir diiringi kira-kira 10 ahli persilatan­ memimpin bacaan tahlil dan doa selamat yang turut disertai penduduk.

Majlis yang diadakan tepat jam 10 malam itu diadakan bertujuan memohon petunjuk ALLAH bagi membantu elak daripada terus menjadi mangsa gangguan dua orang minyak yang mengganas di kampung itu.

Program yang berlangsung selama satu jam itu diakhiri dengan memagar seluruh kawasan Jalan Laksamana 1 manakala kawasan lain akan dilakukan secara berperingkat.

Kamaruzaman berkata, majlis bacaan ayat suci al-Quran yang diadakan merupakan salah satu cara untuk mematikan kuasa ilmu hitam orang minyak menggunakan benang.

“Apabila makhluk ini terpijak benang-benang yang sudah diwafakkan dengan ayat al-Quran, kuasanya akan hilang dan ianya akan menjadi manusia biasa semula, ketika itulah kita boleh menangkapnya,” katanya.

Kamaruzaman berkata, benang-benang itu diikat dipangkal pokok pisang dan laluan yang dipercayai sering menjadi lokasi orang minyak muncul.

“Kita cuba cara ini dahulu, mana tahu ianya berhasil untuk mengesan,” katanya.

Turut ‘dipagar’ pada malam itu ialah kawasan kabin usang yang sebelum ini terdapat tiga botol minyak hitam dan minyak zaitun.

Penduduk juga boleh mengelak daripada menjadi mangsa gangguan ini dengan memagar sendiri kawasan rumah masing-masing melalui bacaan 100 kali ayat kursi dari pintu pagar luar ke pintu utama, membaca al-Fatihah terus ke sudut kanan, surah al-Kafirun sambil membaca setiap empat penjuru rumah dengan 25 kali ayat kursi, al-Ikhlas, al-Kafirun dan diakhiri dengan surau al-Falaq.

Semalam, sekali lagi perkara pelik berlaku pada jam 4 pagi apabila batang pokok pisang yang sudah diikat dengan benang terkulai seolah-olah seperti baru dicantas.

Ustaz Kamaruzaman memberitahu, perkara yang tidak disengajakan itu berlaku apabila orang minyak itu terlanggar benang yang diikatkan di kawasan itu.

“Mungkin dia takut dikesan dan cuba melarikan diri menyebabkan pokok pisang yang menjadi tempatnya bersembunyi dilanggar,” katanya.

Difahamkan, satu lagi solat hajat akan digerakkan Surau al-Karimiah, Kampung Laksamana hari ini, seorang lagi ustaz akan dipanggil untuk membantu menyelesaikan isu orang minyak itu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: