05 Januari 2012

449,475 murid tahun satu mula persekolahan

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Penggal pertama sesi persekolahan 2012 menyaksikan 449,475 murid melangkah ke tahun satu, termasuk 81,842 di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang memulakan sesi persekolahan, kelmarin.

Menurut perangkaan Kementerian Pelajaran, bilangan pelajar memulakan Tingkatan Satu pula berjumlah 437,519.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, Selangor mencatat kemasukan tertinggi murid tahun satu dan pelajar tingkatan satu iaitu masing-masing 85,894 dan 77,495.

Ia diikuti Johor dengan 54,250 murid tahun satu dan 52,101 pelajar tingkatan satu.

“Kemasukan murid ke sesi persekolahan 2012 berjalan lancar kecuali di beberapa negeri yang dilanda banjir,” katanya.

Pecahan bilangan murid tahun satu untuk negeri-negeri lain ialah Sabah, 44,342; Sarawak, 42,005; Perak, 35,004; Kedah, 32,068; Kelantan, 29,476; Pahang, 24,314; Pulau Pinang, 22,730; Kuala Lumpur, 22,037; Terengganu, 20,298; Negeri Sembilan, 16,952; Melaka, 13,436; Perlis, 3,669; Putrajaya, 1,669 dan Labuan, 1,331.

Bagi tingkatan satu pula, Sarawak mencatatkan 40,334 pelajar; Sabah, 39,918; Perak, 39,565; Kedah, 34,202; Kelantan, 28,487; Pulau Pinang, 22,667; Pahang, 22,458; Terengganu, 21,871; Kuala Lumpur, 20,209; Negeri Sembilan, 17,807; Melaka, 13,736; Perlis, 4,224; Putrajaya, 1,264 dan Labuan, 1,181.

Sesi persekolahan di beberapa sekolah di Tumpat, Gua Musang dan Pasir Mas, Kelantan terganggu akibat banjir melibatkan lebih 2,000 pelajar.

Abdul Ghafar berterima kasih kepada pihak sekolah yang bersungguh-sungguh dalam memastikan kelancaran kemasukan pelajar untuk sesi 2012.

Di PERLIS, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, 24,917 murid sekolah rendah memulakan sesi persekolahan di negeri itu.

Md Isa berkata, jumlah sekolah menengah di Perlis bakal meningkat kepada 30 buah pada pertengahan tahun ini apabila tiga lagi sekolah yang sedang dalam pembinaan mula beroperasi.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beseri, SMK Mata Ayer dan SMK Guar Nangka, katanya kepada pemberita selepas melawat SMK Datuk Sheikh Ahmad, Arau dan Sekolah Kebangsaan Padang Kota di Bintong.

Sambil berkata lawatan itu bertujuan meninjau masalah banjir yang dikatakan kerap berlaku di kedua-dua sekolah berkenaan, Md Isa berkata, beliau meminta Jabatan Pelajaran Perlis menangani masalah itu dan jika perlu, memohon peruntukan daripada Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan infrastruktur.

Sinar Harian

Tiada ulasan: