05 Januari 2012

Mangsa samun langgar penjenayah

11 Safar 1433H. [MOD] -

AMPANG – Bukan hanya tidak sempat melarikan beg tangan seorang wanita, malah dua penjenayah itu diberkas polis selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar mangsa dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Pandan Indah, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, seorang perunding kecantikan berusia 20 tahun, baru pulang dari kerja dengan menaiki kereta bersendirian.

Menurut sumber, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal.

“Suspek terus memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan dan me­ngambil beg tangan yang diletakkan di atas kerusi.

“Mangsa yang tersedar dengan kejadian itu terus bertindak melanggar motosikal itu sehingga menyebabkan suspek terbabas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, orang ramai yang terlihat kejadian itu terus membantu mangsa dan memberkas penjenayah tersebut.

“Suspek seterusnya diserahkan kepada polis peronda yang sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Suspek berusia 20 dan 25 tahun itu ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis terbabit.

Beliau berkata, siasatan untuk menyiasat pembabitan suspek dalam kejadian sama di daerah ini sedang dijalankan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: