05 Januari 2012

Anwar sedia umum pengganti jika bersalah

11 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan pengganti sekiranya beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan didapati bersalah berhubung dakwaan kes liwat dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan Sinar Harian Online semalam, Anwar menegaskan, Pakatan Rakyat (PR) bersedia dari segala kemungkinan termasuklah senario ketiadaannya selepas keputusan kes diketahui Isnin ini.

Namun Anwar enggan menamakan seseorang kerana menyifatkan ia adalah tindakan kurang bijak sekiranya calon penggantinya diumumkan sekarang.

“Sebagai seorang manusia biasa, kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada kita pada masa akan datang, namun PR sentiasa bersiap sedia dengan semua pilihan.

“Ketiadaan saya bukan hanya bermaksud saya di dalam penjara, kemalangan juga boleh terjadi, jadi saya akan umumkan pengganti saya selepas 9 Januari,” katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR menegaskan bahawa pengganti itu nanti semestinya mendapat sokongan ketiga-tiga parti komponen PR dan boleh ditonjolkan dengan baik serta diterima rakyat.

“Kita kena bersedia dan siapkan pemimpin ini, kita akan ‘grooming’ dengan sebaik-baiknya dan isi kepimpinan kita,” katanya.

Ditanya persiapan PR menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Anwar berkata jentera sudah berada di tahap terbaik dan segala masalah antara parti sudah pun hampir diselesaikan.

“Manifesto dan dasar-dasar bersama semuanya sudah diselesaikan, apa yang masih belum selesai adalah isu pembahagian kerusi sebanyak lima peratus, selebihnya beres,” katanya.

PR akan mengadakan konvensyennya di Kedah pada 14 Januari ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: