05 Januari 2012

Mati ditetak di kafe siber

11 Safar 1433H. [MOD] -

BANDAR JERANTUT - Polis berjaya menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah kafe siber di Bandar Inderapura, awal pagi semalam sehingga mengakibatkan kematian seorang pekerja kontrak, Lee Chin Han, 26, dan kini memburu seorang lagi saksi utama kejadian.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail berkata, lelaki terbabit ditahan awal pagi semalam bagi membantu siasatan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut masih mengesan seorang lagi lelaki berumur 28 tahun bagi mengenal pasti motif utama pergaduhan.

“Mangsa diserang lebih dua kali selepas suspek menutup separuh bahagian mukanya. Ketika kejadian, mangsa berada dalam kafe siber di tingkat atas bangunan sebelum didatangi suspek yang terus menyerang dan menetak mangsa.

“Mangsa berlari turun ke bawah, namun berlaku lagi pergaduhan antara suspek dengan mangsa, menyebabkannya naik semula ke tingkat atas untuk mendapatkan bantuan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan IPD Jerantut, semalam.

Azid berkata, dua sera­ngan itu menyebabkan mangsa putus tangan kanan, selain cedera dengan 11 kesan tetakan pada badan dan meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, cubaan mangsa naik semula ke premis kafe siber itu bagi mendapatkan bantuan turut menyebabkan penjaga kafe berkenaan, Lom Kam Yuet cedera ditetak di bahagian leher dan badan, kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

“Berikutan insiden ini, kita masih mengesan seorang lagi saksi utama iaitu Wong Soon Chon, 28, beralamat di 397 Lorong 12, Bandar Baru, Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) 410 Jerantut, yang turut dipercayai terlibat dengan pergaduhan bersama mangsa.

“Saksi ini sangat diperlukan bagi membantu siasatan dan mengesan motif pergaduhan. Orang ramai yang me­ngenali atau melihat saksi utama ini diharap dapat menghubungi Bilik Gerakan IPD Jerantut, menerusi talian 09-266199,” katanya.

Beliau berkata, maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jerantut, Asisten Superintendan Tey Kong Seng di talian 019-9813821.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: