10 Januari 2012

Wang pencen lesap bayar hutang

16 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Sepa­sang suami isteri warga emas kini terbeban dengan pembayaran balik pinjaman daripada sebuah syarikat pinjaman berlesan yang mengenakan caj faedah lebih dua kali ganda daripada jumlah bayaran balik setiap bulan.

Lebih parah apabila wang pencen sebanyak RM720 sebulan yang menjadi satu-satunya sumber kewangan mereka ‘licin’ setelah dipotong terus oleh ejen tersebut.

Potongan nilai bayar balik pinjaman juga tidak konsisten setiap bulan ditambah pula dengan caj faedah yang tidak munasabah.

Mangsa, Othman Salleh, 84, berkata, dia terdesak membuat pinjaman tersebut pada Januari tahun lalu kerana mahu mencari modal perniagaan bagi menampung perbelanjaan hidup bersama isterinya, Siti Selamah Hussin, 53.

Menurutnya, dia meminjam sebanyak RM5,000 tanpa menandatangani sebarang dokumen perjanjian, namun kad dan bank yang digunakan untuk urusan bayaran pencennya diambil oleh ejen berkenaan.

“Setiap bulan, dia akan potong terus duit pencen yang saya terima daripada akaun bank berkenaan, membuatkan saya langsung tidak dapat menggunakannya wang pencen tersebut tahun lalu.

“Saya mengaku saya silap dan kena tipu dalam hal ini kerana saya tidak tahu akan jadi begini, saya terdesak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Siti Selamah berkata, baki pinjaman yang perlu dibayar kini adalah sebanyak RM5,559 setelah dicampur dengan beberapa pinjaman tambahan dibuat.

Katanya, disebabkan wang pencen suaminya habis dipotong untuk membayar pinjaman balik dan caj faedah, mereka tidak mempunyai wang lain dan terpaksa membuat pinjaman lain.

“Kerana terdesak, suami saya akan telefon ejen tersebut dan dia akan memasukkan wang dalam akaun saya dan yang terakhir sebanyak RM1,500 telah dipinjam dan itulah wang yang kami belanjakan sekarang ini.

“Apa yang kami risaukan apabila wang yang dipinjam ini habis, bayaran balik masih belum selesai disebabkan faedah yang tinggi dan kami terpaksa berhadapan dengan situasi sama sepanjang tahun lalu,” katanya mengharapkan kad dan buku akaun suaminya dikembalikan.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Orang-orang Miskin Selangor dan Kuala Lumpur (Perkom) Mohd Solleh Ibrahim berkata, dia mendapat aduan daripada pasangan suami isteri tersebut berhubung hal itu dan menyifatkan syarikat pinjaman tersebut mengambil kesempatan ke atas warga emas berkenaan.

Katanya, pihaknya menggesa kerajaan memantau syarikat pinjaman berlesen daripada terus mengambil kesempatan terhadap orang yang terdesak dan kurang berpengetahuan dalam urusan pinjaman.

“Bagaimana syarikat pinjaman berlesen yang mengenakan caj faedah yang tidak munasabah ini boleh dibenarkan beroperasi?. Jika hal ini dibiarkan, ramai rakyat yang akan menjadi mangsa skim mereka,” katanya.

Sinar Harian

2 ulasan:

kampong lad berkata...

panggil gen 3 line tu, tengok apa depa nak buat.

perjalanan pulang berkata...

dulu aku ada sangkut jugak, pergi ngadu kat satu persatuan tu konon boleh tolong... Dia orang pun pilih bulu jugak, mana ada free gitu je.. Dato dato dia orang tolonglah