27 April 2012

Motosikal dikebas ketika solat di masjid

5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KERATONG - Belum pun reda isu duit tabung Masjid At-Taqwa Felda Keratong 4, dikebas pencuri, kini sasaran ‘kaki kebas’ lebih besar, malah mereka semakin berani apabila mencuri pula motosikal jemaah.

Buktinya, dalam tempoh seminggu lalu, sebanyak dua kes kehilangan motosikal dilaporkan di masjid Felda Keratong 4 selepas solat Jumaat, manakala dua kes kecurian yang sama berlaku di masjid Felda Keratong 5, Selasa lalu.

Kegiatan curi motosikal yang semakin berleluasa itu menyebabkan jemaah terpaksa memasang rantai kunci di kenderaan masing-masing.

Gugusan Felda Bandar Tun Razak yang merangkumi Felda Keratong 1 hingga 5 kini juga diletakkan sebagai kawasan hitam berdasarkan beberapa kejadian kecurian dan kes pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini.


Pencuri licik

Seorang jemaah, Muhamad Daud, 63, berkata, dia hanya menyedari motosikalnya hilang sebaik saja mahu pulang ke rumah selepas menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid Felda Keratong 5, Selasa lalu.

Menurutnya, motosikalnya jenis Honda EX5 diletakkan di kawasan parkir di tepi bangunan masjid.

“Saya terkejut apabila motosikal yang saya gunakan untuk ulang alik ke masjid setiap hari sudah tidak ada di tempatnya.

“Saya hairan bagaimana pencuri itu begitu licik dan boleh melarikan motosikal saya sekelip mata kerana handle motor waktu itu berkunci,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhamad berkata, dia kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang sanggup melakukan kegiatan terkutuk itu di pekarangan masjid.

“Perlakuan mereka ini adalah satu jenayah besar di sisi Islam dan mereka perlu bertaubat kerana perbuatan mencuri ini hanya menyebabkan orang lain pula berada dalam kesusahan,” katanya.

Menurutnya, dia kini terpaksa menggunakan van untuk berulang alik ke masjid.

Seorang lagi mangsa, Mohd Omar Kasihan, 63, berkata, motosikalnya jenis Modenas Kris yang dikebas pencuri itu sudah digunakan lebih 10 tahun dan banyak berjasa kepada ahli keluarganya.

Menurutnya, dia percaya pencuri terbabit akan meleraikan motosikal yang dicuri sebelum menjualnya kepada pembeli besi buruk.

“Mereka tidak akan men­jual motosikal itu terus kerana boleh ­menyebabkan mereka dicekup pihak berkuasa.

“Saya percaya, mereka hanya mengambil komponen di dalamnya untuk dijual kepada pembeli besi buruk,” katanya.

Mohd Omar berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu hanya menyusahkan pemilik terutama jika mangsa terdiri daripada golongan tidak berkemampuan.

Katanya, perbuatan itu juga mencemar imej institusi masjid sebagai sebuah rumah ibadat yang selamat, sekali gus memberi tanggapan buruk kepada masyarakat terhadap fungsi dan peranannya pada masa akan datang.

“Kita bimbang masyarakat takut ke masjid kerana ada pihak telah mencemarkannya dengan perbuatan tidak bermoral,” katanya.


Rondaan lebih kerap

Imam masjid, Felda Keratong 5, Ismail Yahya berkata, dua tahun lalu, dia juga pernah kehilangan motosikal yang diletakkan di kawasan parkir masjid dan hanya menyedari kejadian itu sebaik saja mahu pulang ke rumah selepas selesai solat Isyak.

“Selepas kejadian itu saya lebih berhati-hati dan berwaspada termasuk mengenakan kunci rantai yang bermangga bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Ismail berkata, kejadian pecah rumah, curi motosikal dan kes pecah tabung masjid di Felda gugusan itu semakin berleluasa.

Justeru pihak berkuasa terutama polis digesa menjalankan siasatan menyeluruh supaya ia dapat dibanteras hingga ke peringkat akar umbi.

Katanya, rondaan yang lebih kerap perlu dilakukan bagi memastikan penjenayah terbabit dapat diberkas.

“Polis perlu lebih tegas menangani kes ini dan berharap tindakan segera dapat dijalankan bagi memastikan mereka yang menjalankan kegiatan ini dicekup,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, Unit Peronda Polis (MPV) telah diarahkan melakukan rondaan lebih kerap di kawasan masjid.

Katanya, pihaknya memandang serius perkara itu dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan mengunci kenderaan masing-masing.

“Orang ramai perlu mengamalkan sikap beringat sebelum terkena dan mengunci kenderaan mereka bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa kepada perlakuan jenayah,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: