27 April 2012

PAS Perlis lapor SPRM kos persembahan Gema Cahaya

5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KANGAR, 27 April: PAS Perlis membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kesangsian peruntukan yang bakal dibelanjakan untuk program persembahan Gema Cahaya sempena perasmian sukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia di Kangar, Mei depan.

Laporan tersebut dibuat oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Rus'sele Eizan semalam dengan menyerahkan dokumen pelaksanaan projek tersebut di pejabat SPRM Perlis, di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat ditemani Setiausaha Perhubungan PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman membuat laporan ekoran kesangsian yang terdapat dalam peruntukan yang bakal digunakan itu yang didakwa menggunakan peruntukan daripada wang pelajar sekolah untuk mata pelajaran Kemahiran Hidup, Seni dan wang asrama.

Menurutnya, tiada arahan rasmi daripada Pengarah Jabatan Pelajaran Perlis berkaitan penggunaan wang itu.

Persembahan Gema Cahaya dijangka membabitkan lebih 14,000 orang pelajar dari seluruh negeri Perlis yang bakal mempersembahkan pukulan kakkung (yang diperbuat dari buluh) dan gendang yang diperbuat daripada tong sampah yang dibalut kain.

"Apa yang kita pertikaikan di sini ialah peruntukan itu digunakan secara tidak betul dari peruntukan wang untuk pelajar sekolah. Saya dah bangkitkan perkara ini pada Sidang Dun Perlis kelmarin. Jawapan kerajaan amat tidak memuaskan kerana disebut pembabitan pelajar ini adalah untuk memberikan markah kepada mereka.

"Maklumat yang kita perolehi, kakkung dan gendang yang digunakan bukan dibuat oleh pelajar tapi diswastakan dengan kos keseluruhan melebihi RM200 ribu," jelasnya.

Kata Rus'ele lagi, beliau meminta SPRM menyiasat mengapa wang dari peruntukan pelajar digunakan sedangkan kerajaan boleh mencari peruntukan untuk program tersebut.

"Kita tak kisah kalau pembabitan pelajar ini kerana nak cipta rekod untuk Malaysia Book of Records, tapi yang kita pertikaikan ialah peruntukan besar yang digunakan. Itu belum masuk lagi perbelanjaan makan dan pengangkutan pelajar-pelajar ini lagi untuk dibawa ke stadium nanti.

"Kita jangkakan semuanya boleh mencecah hampir RM400,000. Jadi kita harap perkara ini dapat disiasat sebaiknya oleh SPRM," jelasnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: