27 April 2012

Pemandu teksi didenda naikkan kadar tambang

5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Dua pemandu teksi didenda oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana mengaku bersalah menuntut bayaran tambang melebihi kadar yang ditetapkan. (Gambar Hiasan)

J Elanggo, 30, pemandu teksi eksekutif, didenda RM1,000 atau sebulan penjara kerana menuntut kadar tambang melebihi yang ditetapkan, iaitu RM459.20 bagi dua pelancong Britain, berbanding kadar yang ditunjukkan di meter teksi sebanyak RM8.
Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Imbi berhadapan Hotel Regency Dorsett di sini pada 1.59 petang, 8 Februari lepas.

Majistret Nurdiana Mohd Nazari mendenda Ahmad Osman, 53, RM400 atau empat hari penjara kerana meminta bayaran RM8 bagi empat penumpang, berbanding kadar yang ditunjukkan pada meter RM4.80 semasa memandu teksi dari LRT Sentul Timur ke Taman Dato’ Senu pada 6.37 petang, 30 November 2011.

Mereka adalah pemandu teksi pertama yang didakwa mengikut Seksyen 75(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, dan dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 75(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan­ masing-masing.

Kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Nom Phot Prackdit. Elanggo diwakili peguam N Satgurunathan, sementara Ahmad tidak diwakili peguam.

Agency

Tiada ulasan: