18 Mei 2012

49 jenis barang dirampas

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Polis merampas 49 pelbagai jenis peralatan disyaki dicuri termasuk silinder gas memasak dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru, Batu 13, Jalan Bidor, dekat sini, petang Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, serbuan dilakukan kira-kira 1 petang apabila pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai pelbagai jenis barangan hilang disyaki dicuri.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, terdapat empat lelaki berusia 27 hingga 41 tahun berada dalam premis berkenaan dan kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis berkenaan, kami menemui pelbagai barangan dipercayai dicuri dan kesemuanya membawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, pegawainya bertindak bertanya mengenai kewujudan barang berkenaan di premis itu kepada salah seorang lelaki tersebut yang dipercayai pemilik rumah.

Jelasnya, pemilik rumah berkenaan gagal menunjukkan sebarang permit atau lesen yang menyatakan bahawa premis itu merupakan tempat perniagaan malah turut gagal menjawab beberapa soalan yang diajukan pihaknya.

“Keempat-empat lelaki berkenaan dibawa ke IPD Hilir Perak bagi menjalani ujian saringan awal dadah.

“Kami mendapati dua daripada mereka didapati positif dadah dan kini kesemua masih ditahan reman sehingga esok (hari ini), “ katanya.

Kok Liang berkata, pemeriksaan lanjut ke atas semua lelaki berkenaan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau dalam kes dadah.

Katanya, pihaknya juga percaya, kesemua mereka menjadi orang tengah membeli barangan daripada penagih dadah yang mencuri pelbagai barangan bagi mendapatkan duit.

“Rumah yang diserbu p itu juga disyaki menjadi tempat simpan barangan curi sebelum menjual ke orang lain dengan harga lebih murah.

“Kepada orang ramai yang membuat laporan polis berkenaan kehilangan barangan boleh datang ke IPD Hilir Perak bagi membantu siasatan kami,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: