26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
MARANG — Sekumpulan pengusaha tanaman kelapa di Kampung Tengah, Jambu Bongkok dekat sini, berdepan masalah serangan ulat yang menyebabkan pokok kelapa kering dan kurang mengeluarkan buah sejak dua bulan lepas.
Ketika ditemui Bernama hari ini, Aminah Mohd, 60, berkata serangan ulat tersebut bukan sahaja merosakkan daun tetapi juga menyebabkan air buah kelapa muda terasa payau dan busuk.
"Putik kelapa pula gugur kerana kepanasan,” katanya yang menanam lebih 100 batang pokok di atas tanah seluas 1.2 hektar.
Katanya, serangan ulat terbabit pernah berlaku dua tahun lepas membabitkan semua tanaman kelapa di kampung tersebut, namun masalah itu hanya berlaku sekejap dan pokok terlibat kembali pulih.
"Kami bimbang jika masalah ini berterusan akan menjejaskan bekalan kelapa untuk musim raya nanti,” katanya yang bergantung hidup sepenuhnya pada kebun kelapa tersebut.
Aminah berkata, pada kebiasaannya kebun itu mampu mengeluarkan hasil 300 biji setiap kali dipetik dan dijual pada harga RM1 sebiji kepada peraih tempatan atau dijual sendiri.
"Kelapa merupakan hasil utama makcik dan mungkin penduduk sekitar kampung juga. Kalau serangan ulat ini berterusan, ia akan mengancam pendapatan kami.
"Sebenarnya makcik tidak tahu hendak mengadu kepada siapa mengenai masalah ini. Saya berharap pihak yang berkaitan seperti Pejabat Pertanian atau lain-lain agensi mengambil tindakan terhadap serangan ulat tersebut agar pokok-pokok berkenaan kembali pulih,” katanya. — BERNAMA
1 ulasan:
pokok kepala ?
Catat Ulasan