18 Mei 2012

Rumah guru hangus, suami isteri tinggal sehelai sepinggang

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Enam sekeluarga terpaksa tinggal sehelai sepinggang selepas banglo mereka hangus dalam kebakaran di Limbat, Pasir Tumboh di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi tersebut menyebabkan pemiliknya, Ahmad Syed Abdul Rahman ,48, kerugian kira-kira RM40,000 setelah rumah dan harta benda tidak dapat diselamatkan.

Ahmad Syed yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dewan Beta berkata, ketika kejadian dia berada di sekolah dan terus pulang selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya.

“Ketika sampai saya terkejut setelah melihat semua peralatan di dalam rumah sudah hangus dan tidak dapat diselamatkan lagi kerana pintu berkunci.


“Hanya konkrit bahagian depan rumah sahaja yang tidak terbakar. Saya sedih kerana pakaian, dokumen penting termasuk geran tanah ayah menjadi abu dalam sekelip mata,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Dalam pada itu, dia juga bersyukur semasa kejadian isterinya, Faizah Abdullah, 48, bersama anak bongsunya tiada di dalam rumah kerana berada di Pasir Mas menziarahi saudaranya kemalangan jalan raya.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk bomba dan individu yang menyelamatkan kereta saya dengan memecahkan cerminnya sebelum menolaknya ke kawasan selamat,” katanya.

Isteri mangsa, Faizah memberitahu, dia ke Pasir Mas kira-kira jam 9 pagi dan terkejut setelah menerima panggilan telefon daripada jirannya memaklumkan rumahnya terbakar.

“Saya reda dengan ujian ini biarpun kami tinggal di rumah ini baru lapan bulan dan semua barang-barang termasuk kelengkapan persekolahan anak-anak hangus dalam sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi menyelamat, Yazulia Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.02 pagi dan dua jentera dari balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bersama tiga dari balai Darul Naim ke tempat kejadian.

Katanya, 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 11.35 pagi serta punca kejadian bersama jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Agency

Tiada ulasan: