18 Mei 2012

Taja Harakah untuk edaran percuma kempen PRU13

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Pilihan Raya Umum Ke-13 bukan sahaja dianggap cukup kritikal dan mungkin menyaksikan kempen paling buruk dalam sejarah, tetapi lebih penting ia merupakan satu kesempatan terbaik (malah datang buat pertama kali) buat rakyat melakukan perubahan menyeluruh, atau lebih tepat menukar kerajaan persekutuan.

Kita gagal melakukannya pada 1990; ada yang memberi alasan sigah Kadazan yang dipakai Tengku Razaleigh Hamzah di malam-malam akhir kempen, telah dimanipulasi media sebagai salib Kristian, dan menjauhkan pengundi Melayu daripada Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat.

Potensi lebih baik menjelma pada 1999, berlambangkan ikon mata lebam Anwar Ibrahim. Umno diasak teruk, manakala imej Dr Mahathir Mohamad merudum dengan dahsyat sekali, terutama pada kacamata masyarakat Melayu. Malangnya, ia tidak disambut dengan baik oleh pengundi Cina, mungkin difaktorkan siri tunjuk perasaan di sekitar Kuala Lumpur, yang dikaitkan dengan reformasi di Indonesia yang menggerunkan masyarakat Tionghua.

Pusingan sepuluh (atau lebih tepat sembilan) tahun sekali kembali lagi. Mac 2008; tanpa riuh-rendah, juga tidak sempat dihidu oleh sesiapa (mungkin kecuali Daim Zainuddin), Abdullah Ahmad Badawi dan "budak-budak Tingkat 4 JPM" dimalukan.

Empat negeri tumbang (selain Kelantan) dan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan. Apa pun, kali pengundi Melayu dikira tidak cukup kuat bersama gelombang kesedaran bukan Melayu (termasuk masyarakat India yang cukup agresif) untuk "menggulingkan" kerajaan.

Daripada segi usia pemerintahan, sejak merdeka 1987 sehingga 2012, tempoh Umno menerajui takhta kuasa sudah cukup lama. Di negara lain, parti pemerintah bersilih-ganti. Hampir semua parti yang dilihat membawa kemerdekaan kepada sesebuah negara itu tidak lagi berkuasa.

Rekod buruk Umno, terutama dalam amalan rasuah, salahguna kuasa, pembolotan khazanah kekayaan negara dan penyelewengan bertimbun menggunung. Umno juga mengkhianati amanah dan kepercayaan orang Melayu.

Berbekalkan sentimen perkauman yang dimainkan media tali barutnya dan agensi kerajaan, seperti Biro Tata Negara (BTN), sebahagian orang Melayu masih dapat diperdaya. Politik suku-sakat dan kronisme, yang menguntungkan segelintir kecil elit Melayu yang rapat dengan Umno, begitu menjolok mata.

Soalnya, apakah masih ada lagi halangan untuk menyingkirkan Umno-BN, dalam PRU13 yang kritikal ini?

Selain faktor senarai daftar pemilih yang terlalu kotor, terutama di Selangor, ada pihak menyifatkan hambatan terbesar ialah saluran maklumat berkesan, medium yang mudah dicapai dan murah kosnya.

Peranan media untuk mempengaruhi pengundi semasa pilihan raya sentiasa menjadi perbahasan dan polemik menarik. Satu ketika, Umno-BN memonopoli maklumat dengan menguasai sepenuhnya media tradisi, seperti akhbar, radio dan televisyen. Melalui konsep permit dan dasar pemilikan, ruang untuk rakyat menerima informasi dikawal ketat.

Namun begitu, naluri ingin tahu manusia tidak selamanya boleh disekat. Semakin dikongkong dan ditekan, keghairahan untuk mendapat maklumat sebenar makin melonjak. Medium yang sukar dikontrol, seperti majlis ceramah, dialog bersemuka, ziarah rumah ke rumah dan penyebaran risalah dan juga kaset menghubungkan rakyat dengan parti-parti pembangkang.

Pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah merumuskan, fenomena langit terbuka, telah melemahkan dengan teruk sekali fungsi media tradisi, khususnya akhbar. Pengamal media baru ini juga berjaya meruntuhkan tembok pemisah dan membentangkan "padang permainan hampir sama rata", yang memungkinkan khalayak mendapat maklumat yang selama ini cuba ditutup rapat.


Kini setiap individu berupaya menjadi seorang wartawan, sekali gus editor dan juga penerbit. Hirarki penerbitan tradisi telah dipecahkan. Seorang blogger, misalnya, mampu menggegarkan negara jika berjaya membuat pendedahan terhadap penyelewengan atau skandal pemimpin, apatah lagi sekiranya disokong fakta bergambar melalui kemudahan Facebook dan Youtube.

Kes "rusuhan" peserta Bersih 3.0 yang digembar-gemburkan media Umno-BN berjaya disanggah dengan cepat melalui penyebaran klip video dalam Youtube yang menggambarkan pihak polis sebenarnya yang menjadi ejen provokator.

Bagaimanapun, sebagai wartawan yang "masih terikat dengan media lama" saya lebih berminat dengan media cetak, seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket, yang sepatutnya dioptimumkan aplikasi politiknya.

Kemajuan teknolgi maklumat yang ditandai dengan laman-laman web, portal berita, blog, FB dan twitter tidak seharusnya menyebabkan aktivis Pakatan Rakyat memandang sepi kepentingan akhbar, apatah lagi umum maklum bahawa sasaran pengundi yang menjadi rebutan parti-parti yang bertanding kali ini ialah masyarakat Melayu di kampung-kampung tradisi dan juga rancangan Felda.

Semasa di Tawau, Sabah, baru-baru ini, dalam majlis forum politik di sebuah hotel, seorang anak muda aktivis DAP menimbulkan persoalan Kelab Pembaca Harakah. Beliau dan bapa mertuanya merupakan pelanggan tetap Harakah, yang hanya dapat dibelinya selepas melalui 45 minit perjalanan dari rumah mereka.

Lebih menarik, mereka bukan hanya membeli senaskhah lidah rasmi PAS itu untuk dibaca di rumah. Empat lima naskhah lagi akan diletakkan di lokasi yang menjadi tumpuan awam, seperti restoran dan kedai gunting, dengan niat lebih ramai dapat berkongsi maklumat dan pandangan yang dimuatkan dalam Harakah.

"Banyak bahan-bahan menarik dan bermanfaat dalam Harakah, yang bagi saya perlu disebar-luaskan kepada masyarakat," kata aktivis muda beragama Kristian, yang fasih berbahasa Melayu itu.

Beliau mahu ditubuhkan Kelab Pembaca Harakah di Tawau. Walaupun saya sendiri tidakbegitu arif dengan cadangan kelab tersebut, saya telah memberi komitmen awal dan menjanjikan agar Harakah dapat diinstitusikan dengan lebih menyeluruh lagi, melintasi Laut Cina Selatan.

Malam itu, keletihan saya berjalan jauh segera terubat. Idea untuk menyebar-luaskan pengedaran Harakah sudah lama terbuku dalam fikiran. Saya pernah mengusul agar para dermawan PAS menaja sejumlah naskhah Harakah untuk disumbangkan kepada individu atau institusi tertentu. Mungkin menyamai apa yang dilakukan akhbar lain, misalnya New Straits Times, dalam konteks pengukuhan pembelajaran bahasa Inggeris.

Menjelang PRU13, agar kesempatan rakyat untuk melakukan perubahan menyeluruh tidak berlalu dengan sia-sia, segala usaha dan pendekatan untuk menjadikan pengundi kita bermaklumat mesti digerakkan dengan sistematik.

Bahan bercetak masih dianggap antara medium paling berpengaruh, mudah dicapai dan senang diedarkan. Sudah tentu kualiti persembahan mesti dipertingkatkan, termasuk dengan mutu grafik yang tinggi.

Ya, usah memandang enteng gerakan untuk memikat hati dan perasaan pembaca, sehingga mereka terdorong untuk bersama-sama melakukan perubahan demi menyelamatkan negara dan generasi akan datang.

Lebih penting, media bukannya mukjizat ajaib, jika tidak disertai dengan perancangan yang teliti dan bijaksana. Ketika sasaran ataupun pengundi diasak dengan limpahan maklumat atau propaganda, hanya yang terbaik dapat menjinakkan emosi. Pengguna media kini lebih bijak menilai dan membuat penghakiman.

Di Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, Sabtu lalu, kolumnis dan aktivis budaya, A Shukur Harun mengingatkan peserta agar lebih menumpukan perhatian dan tenaga bagi meningkatkan kewibawaan akhbar alternatif seperti Harakah, daripada sibuk "pening kepala" dengan gelagat akhbar-akhbar Umno, seperti Utusan Malaysia.

"Saya pernah turun ke kawasan-kawasan Felda di Selangor. Bila ditunjukkan Harakah, peneroka Felda di situ berkata mereka tidak pernah tengok Harakah," katanya, sambil meminta aspek pengedaran dan pemasaran bersikap lebih proaktif.

Ya, sudah tiga kali kita terlepas peluang menukar kerajaan persekutuan ... apakah dalam PRU13 juga kita bakal mengulangi kealpaan dan kesilapan sama, terutama dalam konteks berdepan manipulasi media Umno-BN?

Harakah Daily

Tiada ulasan: