18 Mei 2012

Penguat kuasa wanita nyaris ditetak

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Seorang anggota penguat kuasa syariah wanita daerah Kuala Terengganu berdepan detik mencemaskan apabila nyaris ditetak dengan sebilah parang semasa menjalankan tugas ‘berwaran’ di sebuah rumah di Kampung Tok Kaya, di sini, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam, mangsa bersama seorang pegawai dan enam anggota lain telah menyerbu rumah suspek untuk menahannya kerana mempunyai waran tangkap kes khalwat.

“Bagaimanapun, suspek, 27, yang ketika itu sedang asyik menonton televisyen bersama seorang perempuan dipercayai tiada hubungan pertalian darah, naik berang sejurus mengetahui kehadiran anggota berkenaan yang sebelum itu telah mengetuk pintu rumahnya beberapa kali.

“Suspek yang dikenali sebagai Abang John itu pada mulanya cuba menyembunyikan diri di dalam almari, namun setelah cubaannya gagal, dia mula menunjukkan ‘belang’ dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Manoharan berkata, suspek bertambah berani setelah melihat anggota berkenaan tidak melawan, lalu terus meluru ke bahagian dapur mendapatkan sebilah parang dan cuba mengugut akan menetak salah seorang penguat kuasa terbabit.

“Bagaimanapun, mangsa sempat mengelak daripada terkena hayunan parang oleh suspek yang datang secara melulu. “Tidak puas dengan itu, suspek bertindak lebih melampau dengan menetak cermin van jabatan yang diparkir di hadapan rumahnya,” katanya.

Menurutnya, suspek, seorang peniaga, berjaya ditangkap kira-kira jam 11 pagi semalam di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Hiliran, di sini.

“Barang kes iaitu sebilah parang berjaya dirampas dan kini suspek akan direman untuk disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana halang tugas penjawat awam,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: