18 Mei 2012

Bapa dua anak, lepas hukuman gantung

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Bapa kepada dua anak menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas dia dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, kelmarin, daripada dakwaan mengedar heroin, tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang, gagal membuktikan kes prima facie terhadap Affandi Mohammad, 38, yang diwakili peguam bela Wan Zainuddin Wan Musa.

Sebelum ini, Affandi dituduh mengedar dadah jenis heroin seberat 52.45 gram di dalam sebuah kereta di hadapan Surau Haji Awang, Kampung Losong Haji Awang, di sini, 4 Januari 2011 kira-kira jam 9.45 malam.

Dengan itu, Affandi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta sama yang boleh digantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Mohd Yazid dalam penghakiman berkata, terdapat percanggahan dan kekeliruan keterangan mengenai pembuktian elemen pemilikan dadah oleh tertuduh.

“Selepas menimbang dan mengambil kira keterangan saksi pendakwaan, saya mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan pertuduhan mengedar dadah, maka mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: