04 Mei 2012

Chong Wei, Hafiz antara mara suku akhir

12 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEPERTI diramalkan, pemain perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei melangkah ke suku akhir GP Emas Terbuka Malaysia selepas dengan mudah menundukkan pemain India, Sai Praneeth B pada pusingan ketiga di Stadium Bandaraya Johor Bharu, malam tadi.

Chong Wei yang juga pilihan pertama kejohanan nyata bukan lawan kepada Sai Praneeth B apabila terpaksa akur kekalahan - 21-12,21-13 - dalam perlawanan yang berlangsung 23 minit.

Chong Wei akan bertemu rakan sepasukan, Chong Wei Feng yang telah menewaskan pemain Malaysia, Goh Soon Huat dalam memburu slot ke separuh akhir.

Turut mengiringi Chong Wei ke suku ahir adalah seorang lagi sandaran perseorangan lelaki iaitu Muhammad Hafiz Hashim yang mara selepas mengetepikan pemain senegara, Misbun Ramdan Misbun.

Dengan itu, menanti Hafiz di suku akhir adalah pemain India, Prannoy H.S yang mara selepas menewaskan pemain Malaysia, Liew Daren dengan catatan 21-18,21-19.

Bagaimanapun, harapan yang diletakkan kepada satu-satunya pemain perseorangan wanita untuk melakar kejayaan berkecai apabila Tee Jing Yi gagal beraksi cemerlang selepas mudah tunduk kepada pemain Jepun, Nozomi Okuhara 21-17,21-10.

Dalam pada itu, kempen beregu negara pada kejohanan kali ini terus membanggakan apabila tujuh daripada lapan slot ke suku akhir dikuasai oleh pasukan Malaysia.

Koo Kien Keat/Tan Bon Heong yang mengetuai cabaran beregu mudah mengenepikan gandingan Singapura, Zhao Jiang Terry YEO/Liu YI 21-12,21-13 dan akan bertemu gandingan dari Korea, Dae Eun KIM/Sang Joon LEE.

Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari nyata cemerlang apabila tidak menghadapi kesukaran untuk menundukkan gandingan pilihan keenam kejohanan apabila menang 21-19, 21-16 untuk bertemu rakan senegara Nelson Wei Keat HEG/Teo Ee Yi pada saingan suku akhir hari ini.

Sementara itu, beregu campuran nombor sembilan dunia dari Malaysia, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying nyata cemerlang apabila menumpaskan lawan mereka,, Igor Jenny (Switzerland)/Irina Inozemceva (Russia) dengan catatan 21-11,21-7 dalam masa 17 minit.

Bagi satu lagi beregu campuran negara, Mohd Razif Abdul Latif/Amelia Alicia ANSCELLY berjaya melepasi pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Indonesia, Alfian Eko PRASETYA/Gloria Emanuelle WIDJAJA 21-19,21-13 untuk mara ke suku akhir.

Kemaraan Wong Pei Tty/Chin Eei Hui dan Goh Liu Ying/Lim Yin Loo ke pentas suku akhir turut menggembirakan kem Malaysia apabila misi memburu gelaran juara kejohanan semakin menghampiri pasukan negara.

Kemenangan percuma yang diperoleh Wong Pei Tty/Chin Eei Hui ke atas beregu Thailand, Busanan ONGBUMRUNGPAN/Salakjit PONSANA membolehkan gandingan itu bertemu pasanga Jepun, Yonemoto KOHARU/Yuriko MIKI manakala pasangan Goh Liu Ying/Lim Yin Loo turut berjaya mengenepikan pasangan Indonesia, Komala Dewi/Jenna Gozali 21-18,5-21,21-13 untuk melakar sejarah menenangi kejohanan ini untuk kali pertama.

Sinar Harian

Tiada ulasan: