04 Mei 2012

Mangsa diserang dua lelaki ketika membeli kad prabayar

12 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang lelaki, cedera ditembak dan ditetak dari jarak dekat oleh dua lelaki yang tidak dikenali selepas keluar membeli kad prabayar dan gula-gula di Taman Sentosa Jaya, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Badang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Mohd Nasrur Alimi Mohamad, 35, yang berasal dari Kampung Raja, Jertih, Terengganu ditembak di betis dan turut diserang dengan senjata tajam jenis Kelewang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa berwarna perak disyaki melepaskan tembakan serta menetak mangsa.

“Dipercayai kedua-dua suspek turut memakai helmet dan jaket hitam dan polis turut menjumpai empat kelongsong peluru berukuran 9 milimeter (mm) di kawasan kejadian.

“Pistol yang digunakan kedua-dua suspek terbabit juga berwarna perak dan kini kita giat memburu kedua-dua pemuda tersebut,” katanya kepada pemberita.

Saksi kejadian, Nor Khairun Nisha Mohd Yusof, 22, berkata, semasa kejadian, dia berada di dalam kedai membantu ibunya, Azizah

Yusof, 49, sebelum terdengar bunyi letupan sebanyak tiga kali dan keluar melihat keadaan di luar.

“Saya bersama ibu segera keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku, namun tergamam apabila melihat Abang Yo (panggilan kepada Mohd Nasrur) yang baru keluar daripada kedai selepas membeli kad prabayar, ditetak seorang lelaki yang memakai helmet dan berjaket hitam.

“Penjenayah itu juga turut mengacukan senjata tajam kepada ibu saya sebagai amaran dan sempat melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum bertindak melarikan diri selepas mencederakan Abang Yo,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Ira Shamimi Syamsuddin, 24, berkata, ketika kejadian, suaminya yang bekerja sebagai pembekal kepada sebuah hospital baru keluar dari rumah dan menuju ke sebuah kedai runcit untuk membeli kad prabayar.

“Tiba-tiba, saya terdengar beberapa letupan seperti mercun dan segera keluar daripada rumah untuk melihatnya sebelum anak pemilik kedai tersebut memaklumkan ada orang kena tembak.

“Saya yang terkejut segera menelefon suami, namun tak menyangka Nasrur yang menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Ira Shamimi berkata, sebelum kejadian tersebut berlaku dia turut terlihat kelibat kereta Kelisa itu lalu di hadapan rumahnya, namun tidak menyangka mereka adalah penjenayah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: