11 Rejab 1433H. [MOD] -
BAHAU - Seorang suri rumah bersama tiga anaknya melalui detik mencemaskan apabila kereta jenis Naza Citra miliknya yang berada di hadapan rumah terbakar dalam satu insiden kira-kira jam 12.30 malam, di Taman Meranti, dekat sini, malam kelmarin.
Ibu kepada empat anak, Chin Yoke Yin, 52, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama dua anaknya.
Katanya, kejadian berkenaan disedari anak keduanya, Low Chor Lie, 17, yang masih belum tidur.
Menurutnya, sebelum itu dia ada mendengar anjing milik mereka menyalak namun tidak mengesyaki apa apa sebelum terdengar bunyi letupan kuat.
"Kemudiannya, Chor Lie menjerit memanggil saya dan terkejut mendapati api sedang marak dekat kereta milik kami.
"Dalam keadaan kelam kabut, kami berlari ke bahagian belakang rumah untuk menyelamatkan diri bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.
Yoke Yin berkata, mujur ada jiran membantu menghubungi anggota bomba dan penyelamat.
Menurutnya, anak sulungnya telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Bahau pada hari sama.
"Saya sudah tinggal di kawasan perumahan ini hampir tujuh tahun dan tidak pernah berhadapan dengan situasi seumpama ini sebelum ini.
"Ketika kejadian berlaku, suami berada di luar negara atas urusan kerja,” katanya.
Dalam pada itu, kejadian yang menimpa Yoke Yin turut mendapat perhatian Ahli Majlis, Phoon Kow Chai yang datang melawat kediamannya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Muhd Sabri Muhamad mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan