01 Jun 2012

Tunggu masa untuk rebah

11 Rejab 1433H. [MOD] -

PURUN – Keadaan dinding yang reput dimakan anai-anai di ruang dapur rumah milik pasangan warga emas di Kampung Purun, dekat sini hanya menunggu masa untuk rebah sahaja.

Yusuf Chein, 82, berkata, apabila hujan lebat, isterinya, Azizah Mohd Ali, 69, terpaksa menadah air menggunakan besen hujan gara-gara bumbung dapur yang bocor dan usang.

Menurutnya, keadaan dapur yang tidak sempurna menyukarkan isterinya memasak dan membasuh pinggan.

“Hanya bahagian dapur sahaja yang terlalu usang dan kami bimbang sekiranya angin kuat, zink di dapur diterbangkan angin,” katanya.

Yusuf berkata, dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan dia terpaksa membuat permohonan kepada pihak berkenaan.

“Saya tidak bekerja, malah lebih malang lagi menghidap darah tinggi hingga diserangstrok separuh badan.

“Saya juga alami asma kronik sejak empat tahun lalu dan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan pam setiap masa,” katanya.

Malah katanya, dia juga mengalami masalah kabur penglihatan sebelan kanan namun masih dalam tempoh pemulihan.

“Saya sudah membuat pembedahan mata bagi menggantikan kanta mata di hospital.

“Dengan keadaan saya sebegini, saya tidak berdaya untuk membaiki rumah sendiri,” katanya.

Manakala Azizah pula berkata, dia tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga suaminya itu yang tidak mampu menguruskan diri termasuk ke bilik air.

Menurutnya, mereka kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

“Wang itu digunakan untuk membeli barang keperluan rumah, ubat dan melakukan pemeriksaan setiap bulan.

“Jika diikutkan sememangnya ia tidak mencukupi. Ada anak, tetapi mereka juga perlu menampung perbelanjaan keluarga masing-masing,” katanya.

Azizah, lantaran keperitan hidupnya itu dia nekad membuat permohonan bantuan membaiki rumah pada 2010, namun sehingga kini masih belum mendapat maklum balas.

“Memang ada orang datang melihat keadaan rumah tetapi sehingga ke hari ini masih tiada tindakan diambil.

“Saya sudah serik ke pejabat berkenaan. Mereka hanya memberitahu tiada peruntukkan tetapi sampai bila kami perlu menunggu?,” katanya.

Agency

Tiada ulasan: