11 Rejab 1433H. [MOD] -
REMBAU – “Sementara menunggu bantuan tiba, saya nekad memadamkan kebakaran bersendirian namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak begitu cepat dan besar,” luah pemandu treler, Radzi Jaffar, 47, setelah trelernya dirempuh dari belakang di Kilometer 231, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), dekat sini, pagi semalam.
Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Pulau Indah, Selangor bagi menghantar muatan lima kepala lori dan terperanjat terdengar bunyi kuat sebaik tiba di lokasi kejadian.
“Seperti biasa saya memandu di lorong paling perlahan dan secara tibatiba terdengar bunyi dentuman kuat, saya menjangkakan terdapat kenderaan merempuh treler di bahagian belakang berdasarkan pengalaman memandu hampir 20 tahun.
“Bagaimanapun sebaik melihat cermin sisi dan pandang belakang, tidak kelihatan sebarang kenderaan sebelum memberhentikan treler perlahan- lahan di bahu jalan,” katanya. Radzi berkata, sebaik keluar, dia bergegas ke bahagian belakang treler dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira sudah melekat di bawahnya.
“Pemandunya seorang lelaki juga segera menjauhi kenderaan sementara saya berusaha memadamkan kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 8.04 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 8.10 pagi. Menurutnya, susulan keadaan api yang begitu marak, sebanyak 30 anggota bomba dari empat Balai Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian iaitu masing-masing dari Rembau, Alor Gajah, Seremban 2 dan Seremban.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengawal kebakaran. Bahagian badan treler yang menempatkan lima kepala lori dan tayar hangus terbakar.
“Bagaimanapun, kepala lori tidak mengalami sebarang kerosakan susulan kebakaran berkenaan manakala, kereta jenis Proton Wira juga hangus terbakar, pemandunya juga sudah dikejarkan ke klinik berhampiran ,” katanya. Zamrus berkata, punca kebakaran dan kerugian masih lagi dalam siasatan.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan