11 Rejab 1433H. [MOD] -
IPOH: Seorang lelaki yang bakal melangsungkan perkahwinannya hari ini ditemui mati dalam keadaan misteri dengan mayatnya ditemui dalam keadaan leher terjerut berhampiran sebuah kawasan perkelahan terkenal, awal pagi semalam.
D Saravanan, 38, ditemui pengunjung pusat perkelahan Lubuk Timah, Jalan Cameron Highlands, Simpang Pulai di sini, pada jam 8 pagi dalam keadaan berdiri dan tergantung pada sebatang pokok di tepi sungai di tempat kejadian.
Mangsa mulanya disyaki membunuh diri, namun kejadian itu menimbulkan rasa curiga polis dan orang ramai apabila mendapati kaki mangsa masih memijak tanah.
Pekerja pusat perkelahan itu, Talib Dahaman, 65, berkata, dia dimaklumkan penemuan mayat mangsa oleh seorang pengunjung tetap yang berada di kawasan perkelahan itu.
“Selalunya saya datang bekerja di sini sekitar jam 6 pagi, namun hari ini (semalam) hanya datang jam 8.30 pagi kerana mempunyai urusan di rumah. Sebaik tiba, saya dimaklumkan seorang pengunjung yang menemui mayat mangsa dengan lehernya terikat tali pada sebatang pokok di tepi sungai.
“Saya memberitahu pengurus, Amiruddin Ishak berhubung kejadian itu sebelum polis dimaklumkan. Ketika ditemui, lelaki itu lengkap memakai kemeja-T dan berseluar lusuh,” katanya.
Menurutnya, dia tidak percaya mangsa mati akibat menggantung diri kerana kedua-dua kaki mangsa menyentuh tanah.
Talib yang sudah bekerja lebih tiga tahun di pusat perkelahan itu mendakwa kejadian itu pertama kali dialami walaupun pernah berlaku kes lemas sekitar 2008.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan berkaitan punca kematian mangsa masih dilakukan.
“Polis masih menyiasat motif kejadian dan kereta Perodua Kelisa milik mangsa turut ditemui di tempat kejadian,” katanya.
Ahli keluarga mangsa yang ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam juga enggan memberi sebarang ulasan berhubung kes itu.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan