11 Rejab 1433H. [MOD] -
BEMBAN - Seramai tujuh keluarga di Taman Bemban Jaya di sini, hilang sabar berikutan pelbagai masalah yang terpaksa dihadapi setiap kali pasar malam beroperasi di halaman rumah mereka pada hujung minggu, sejak 17 tahun lalu.
Mereka mendakwa, pasar malam yang beroperasi setiap Ahad, bermula jam 3 petang hingga 10.30 malam itu menimbulkan banyak kesukaran seperti masalah parkir kereta,
pencemaran dan kerosakan harta benda.
Seorang penduduk, Mukayi, 58, berkata, paling menyedihkan apabila mereka tidak boleh mengadakan sebarang majlis setiap Ahad berikutan masalah berkenaan.
“Saya terkilan kerana baru-baru ini, saudara mara dan kenalan terpaksa masuk menggunakan pintu belakang rumah untuk menghadiri majlis sembahyang mendiang suami
saya kerana halaman rumah sudah sesak dengan peniaga dan pengunjung pasar malam.
“Kami tiada pilihan, melainkan terpaksa mengadakan apa sahaja majlis pada hari lain," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, adik iparnya, Kalyani, 59, pula berkata, dia yang menghidap sesak nafas terpaksa menutup pintu dan tingkap kerana alahan terhadap habuk serta asap makanan yang di goreng peniaga di halaman rumahnya.
Menurutnya, kain yang disidai di ampaian juga terpaksa diangkat awal bagi mengelakkan bau minyak dan habuk.
"Longkang juga kotor kerana sisa makanan dibuang ke dalamnya. Saya juga terpaksa membasuh lantai dan tingkap rumah akibat dicemari minyak dan habuk,” katanya.
Seorang lagi penduduk, R Machap, 39, berkata, dia menghadapi kesukaran untuk keluar dari rumah kerana jalan ditutup sebaik sahaja pasar malam dibuka.
Menurutnya, dia terpaksa keluar awal untuk menghantar anaknya ke kelas tambahan setiap Ahad, kerana jika terlewat, anaknya terpaksa ponteng sekolah.
“Saya juga terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari rumah jika pulang dari menghantar anak atau ke mana mana kerana jalan penuh sesak dengan peniaga dan pengunjung,” katanya.
Tan Soo Seng, 28, pula berkata, dia dan ahli keluarganya terpaksa meletakkan kenderaan di jalan besar atau laluan belakang rumah setiap kali pasar malam beroperasi.
"Malangnya, kereta pernah rosak kerana laluan belakang yang sempit dan kebanyakan penduduk melalui jalan berkenaan pada hari tersebut.
“Jika saya letakkan kenderaan di depan rumah, maka saya memang tidak boleh bergerak ke mana-mana hingga pasar malam tamat," katanya.
Menurutnya, dia bimbang sekiranya berlaku kecemasan membabitkan ahli keluarga.
"Ada juga terfikir mahu berpindah tetapi saya masih bersabar menunggu tindakan pihak berkenaan," katanya.
Menurut penduduk, telah banyak aduan dibuat kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pihak terlibat, namun sehingga kini tiada tindakan diambil sejak lebih 10 tahun lalu.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan