8 Syaaban 1433H. [MOD] -
PASANGAN beregu utama negara, Koo Kean Keat-Tan Boon Heong berazam menjadikan pentas Olimpik London, Julai ini sebagai medan untuk merampas kembali kedudukan ranking nombor satu dunia yang pernah digapai pada 2010.
Malah, Kean Keat mahu membuktikan penyenaraian mereka ke temasya sukan terbesar dunia itu bukan sekadar pelengkap, sebaliknya tekad membawa pulang pingat sekali gus menutup kritikan yang dilemparkan kepada mereka.
"Kami perlu dapatkan kembali sentuhan sebenar seperti mana kecemerlangan lalu jika mahu terus kekal sebagai beregu ternama dunia.
"Kami ke London bukan sebagai pelengkap kejohanan, sudah tentu mahu menang sebarang pingat untuk dibawa pulang demi negara," katanya.
Menyifatkan semua beregu dari setiap negara mempunyai peluang sama rata, beliau berkata, tiada tekanan baginya dan Boon Heong untuk berhadapan mana-mana pasangan di Olimpik nanti.
"Dalam peringkat beregu ini, kita tidak boleh jangka siapa yang layak jadi juara, malah dengan format baru berkumpulan yang diperkenalkan tahun ini juga memberi peluang kepada pasangan yang mahu mendapat keyakinan lebih awal sebelum melangkah ke pusingan akhir," katanya.
Menduduki tangga keenam dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain yang digandingkan bersama sejak 2007 ini mengakui ranking bukan penentu kejuaraan kerana masih banyak perlu diperbaiki, baik dari segi 'pukulan servis' mahupun 'smash' dalam tempoh kurang sebulan sebelum menjelang kejohanan sebenar.
Sinar Harian
1 ulasan:
jgn cakap aje bro..buat...buktikan!!!
Catat Ulasan