28 Jun 2012

‘Zoo di Malaysia abai undang-undang hidupan liar’

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Kebanyakan zoo di negara ini didakwa masih belum mematuhi undang-undang hidupan liar yang baru, apabila tempat pemeliharaan didapati tidak mematuhi keperluan yang ditetapkan.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), SM Mohamed Idris berkata, tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati masih banyak zoo yang tidak mematuhi undang-undang itu antaranya memelihara haiwan dalam keadaan yang memuaskan dari segi keperluan biologi dan tingkah laku
sosialnya.

“Pihak zoo mesti bertanggungjawab dalam memenuhi piawaian tempat tinggal, kebajikan dan kesihatan terhadap haiwan di bawah jagaannya.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah memberi tempoh masa enam bulan kepada zoo untuk mematuhi undang-undang baru itu dan memperbetulkan semula keadaannya.

“Jika mereka (zoo) masih tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, ia mesti dihentikan segera dan tidak boleh diberikan tempoh penangguhan,” katanya.

Tinjauan SAM mendapati, kebanyakan zoo mengendalikan haiwan itu tidak seperti yang ditetapkan. Mereka mementingkan keuntungan berbanding nilai pendidikan dan pemuliharaan.

Beliau berharap Perhilitan menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang pada sesetengah zoo dengan mendakwa atau mengambil tindakan undang- undang terhadap mereka tanpa pilih kasih.

“Banyak aduan dan laporan diterima mengenai layanan buruk terhadap hidupan liar. Usaha membiak haiwan peliharaan dilakukan bukan untuk menyelamatkan habitatnya, tetapi untuk menarik perhatian umum dan keuntungan semata-mata.

“Kita minta Perhilitan menghentikan pengeluaran lesen untuk pembukaan zoo baru, sehingga zoo yang sedia ada mempertingkatkan penyelenggaraannya atau ditutup, jika mereka masih tidak mampu memenuhi keperluan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, Singapura mempunyai sebuah zoo bertaraf dunia manakala Malaysia ada sekurang-kurangnya 44 zoo yang tidak mencapai standard itu.

“Kita tunggu apa yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa sama ada memenuhi janji mereka atau tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: