28 Jun 2012

Syria dalam kancah perang

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar al-Assad, kelmarin mengisytiharkan negara itu kini di dalam kancah peperangan sebenar selepas Turki mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan jika mereka menceroboh sempadan negaranya.

Bashar berkata, apabila sesebuah negara terjerumus ke dalam peperangan, kerajaan perlu menggunakan segala dasar dan kekuatan strategi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Media melaporkan beliau mengeluarkan kenyataan itu di hadapan barisan Kabinet baru, sehari selepas Turki menuduh Syria sebagai satu ancaman kepada keselamatan serantau susulan daripada tindakan negara tersebut menembak jatuh jet pejuangnya pada Jumaat lalu.

Pada masa ini, negara antarabangsa turut mengecam Syria kerana gagal menangani konflik terbaru bersama Turki dan menghentikan keganasan yang tercetus sejak 16 bulan lalu.

Kira-kira dua minggu lalu, Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Kofi Annan juga menyifatkan Syria berada di ambang perang saudara selepas Bashar dilihat semakin hilang kuasa akibat kebangkitan pemberontak.

Sementara itu, pasukan keselamatan kerajaan dan pemberontak dilaporkan bertempur di sekitar pos pengawal pinggir Damsyik sehingga meragut ratusan nyawa termasuk 68 orang awam.

Sehingga kini, lebih 13,000 terkorban sejak kebangkitan revolusi menentang pemerintahan rejim Bashar pada Mac tahun lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: