8 Syaaban 1433H. [MOD] -
ALOR SETAR - Seorang peniaga ikan yang berasal dari Aceh, Indonesia, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam atas kesalahan mengedar 95.31 gram methamphetamine lima tahun lalu.
Ilham Saputra Zainal Abidin, 32, didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 petang, 9 Ogos 2007, di tepi pagar kilang Hamagawa Sdn Bhd, Jalan Bakar Arang, Sungai Petani.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
“Saya sudah mempertimbangkan seluruh keterangan dalam kes, bahawa saksi pendakwaan mengadakan perbincangan dengan tertuduh melalui telefon untuk urusan jual beli syabu, ada perbincangan mengenai lokasi dan masa.
“Malah tertuduh datang ke lokasi hasil persetujuan itu. Ini menunjukkan tertuduh mengetahui kandungan beg plastik yang dibawanya. Semasa ditangkap, dadah ada dalam pemilikan tertuduh,” katanya.
Menurutnya, keterangan pembelaan tertuduh semasa memberi keterangan secara bersumpah tidak boleh menimbulkan keraguan munasabah.
“Pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah. Tertuduh didapati bersalah dan disabit dengan kesalahan di bawah
Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala tertuduh diwakili peguam Gooi Soon Seng
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan