8 Syaaban 1433H. [MOD] -
MARAN - Seorang pesakit mental dari Kampung Orang Asli Batu 55, di sini, yang dilaporkan hilang sejak 6 Disember 2011, berjaya ditemui semula selepas dilihat merayau-rayau dalam keadaan lemah di sekitar bandar Pekan, Jumaat lalu.
Adik mangsa, Nam, 47, berkata, seorang saudara yang menetap di Pekan secara kebetulan lalu di bandar itu dan mengecam abangnya, Letong, 53, melalui susuk badan serta caranya berjalan.
Menurutnya, saudaranya itu segera memberhentikan kenderaan untuk mendapatkan kepastian memandangkan mereka masih dalam usaha mencari Letong, walaupun sudah hampir tujuh bulan berlalu.
“Saya terima panggilan memaklumkan mereka (saudara) sudah jumpa Letong, tetapi dalam keadaan lemah dan lapar. Saya segera ke Pekan dan bersyukur kerana orang yang mereka jumpa itu memang Letong.
“Kami bawa Letong ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan lanjut dan mendapati pergelangan tangan kanannya retak, namun tiada sebarang kecederaan lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Nam berkata, abangnya kini masih menerima rawatan lanjut di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HTAA. “Apa yang berlaku di sebalik kehilangannya kami masih tidak tahu kerana dia (Letong) tidak mahu bercakap.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana abang saya ditemui dalam keadaan baik walaupun pakaian yang dipakai tidak sama sepertimana pakaian dilihat pada kali terakhir,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini pada 7 Disember 2011 dan 24 Mei 2012 pernah melaporkan kehilangan Letong, setelah keluarganya bingung mencari lelaki itu.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan