28 Jun 2012

'Syarat ambil pembantu rumah Indonesia tak disempurnakan'

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

Beberapa syarat tidak disempurnakan oleh agensi yang menguruskan kemasukan 29 orang pembantu rumah Indonesia pada 29 Mei lalu.

Berikutan itu, Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan taklimat sekali lagi dengan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) bagi memastikan mereka benar-benar faham mengenai syarat dan prosedur pengambilan pembantu rumah Indonesia.

"APS terbabit gagal mendapatkan pengesahan daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) terhadap kontrak kerja antara majikan dan pekerja," kata Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

"Dalam masa yang sama, APS gagal menyerahkan dokumen AN-05 iaitu maklumat diri pembantu rumah, maklumat majikan dan agensi pekerjaan kepada KBRI," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, KBRI tiada halangan jika APS menyegerakan kesempurnaan dokumen berkenaan dan kementerian itu telahpun memaklumkan perkara tersebut kepada agensi terbabit supaya mengambil tindakan segera.

Bagaimanapun berikutan perbincangan dengan KBRI, mereka telah bersetuju kesemua 29 orang pembantu domestik itu kekal di Malaysia.

Manakala agensi pekerjaan terlibat perlu segera mengambil tindakan untuk melengkapkan beberapa dokumen yang memerlukan pengesahan daripada pihak KBRI, katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: