28 Jun 2012

Elok MTRK intai ketua lebih berwibawa

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Dakwaan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kononnya ada jenazah tidak dapat dimandikan kerana tiada bekalan air menjadi bahan ketawa orang ramai.

Ramai melihat NGO Umno itu seperti hilang arah perjuangan, tanpa mampu mempamerkan kekuatan sebenar kuasa ketiga yang diuar-uarkan kebelakangan ini.

Malah sebelum ini dalam beberapa kenyataan diulang-ulang MTRK yang diketuai adik Presiden Perkasa, Azmi Ali mendesak kerajaan negeri menyerahkan pengurusan bekalan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sedangkan SPAN hanya bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada pengendali perkhidmatan air dengan mengeluarkan lesen kemudahan dan lesen perkhidmatan.

“Jadi MTRK mahu Kelantan menyerahkan pengurusan air kepada SPAN yang hanya bertanggungjawab mengeluarkan lesen.

“Mereka perlu belajar sikit untuk mengetahui apa perbezaan dengan SPAN dan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) yang menjadi pemegang lesen untuk sistem bekalan air di Semenanjung Malaysia.

“Eloknya MTRK melantik Presiden yang lebih berwibawa dan bukan bercakap sembrono sehingga diketawakan orang ramai,” kata seorang guru pencen yang menyertai pra himpunan menyokong tuntutan royalti di hadapan Kota Darulnaim.

Pada perhimpunan anjuran MTRK yang diketuai Azmi semalam, mereka melaungkan kononnya keadaan bekalan air bersih di Kelantan begitu kritikal sehingga jenazah pun tidak dapat dimandikan.

Malah mereka mendakwa Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyeleweng dan mahu kerajaan negeri menyenaraikan semua kontraktor yang mendapat projek meningkatkan bekalan air bersih.

Biar pun deretan senarai nama kontraktor dan projek dikeluarkan AKSB melalui siaran akhbar, namun MTRK masih membangkitkan isu sama.

Lebih memalukan lagi apabila AKSB menjelaskan semua kontraktor ditentukan kerajaan pusat, di mana sebahagian besar difahamkan merupakan syarikat kroni pemimpin Umno.

“MTRK tuduh kononnya wujud penyelewengan dalam peruntukan RM600 juta yang diluluskan kerajaan pusat, sedangkan pemilihan kontraktor ditentukan kerajaan pusat.

“Peruntukan melalui pinjaman mudah yang diluluskan melalui RMK-8 hingga RMK-10 sebanyak RM547 juta, di mana semua pinjaman itu perlu dibayar kembali,” kata AKSB dalam risalah yang diedar pada perhimpunan tersebut.

Lebih melucukan lagi apabila ramai peserta himpunan MTRK meminum air berjenama Darul Naim yang dikilang oleh AKSB di Pengkalan Chepa, diedar percuma.

Harakah Daily

Tiada ulasan: