8 Syaaban 1433H. [MOD] -
PARIT BUNTAR - Orang ramai meminta Majlis Daerah Kerian (MDK) mengkaji semula sistem pendawaian elektrik di Hentian Raya Bas, di sini berikutan kejadian kebakaran kecil di kaunter menjual tiket bas kira-kira jam 11 pagi semalam.
Sebelum itu, keadaan hujan lebat selama 15 minit menyebabkan saluran paip air bocor sehingga air terbabit mengalir ke beberapa kabel wayar utama berhampiran meter elektrik.
Keadaan itu menyebabkan berlakunya pintasan elektrik seterusnya menghasilkan percikan api sekali gus mengejutkan orang ramai.
Penjual tiket bas, Sholeha Jamaluddin, 30, berkata, semasa kejadian, dia berada di luar kaunter dan terpaksa masuk semula ke dalam untuk mengambil kunci yang tertinggal.
Bagaimanapun, dia terkejut apabila ternampak percikan api pada wayar dan meter elektrik itu selama lebih sepuluh minit.
"Saya bergegas keluar untuk menyelamatkan diri kerana menyangka kejadian kebakaran akan berlaku. Malah orang ramai bertempiaran lari kerana bimbang percikan api akan menjadi lebih teruk.
“Sepanjang lebih lima tahun bekerja di sini, kejadian ini pertama kali berlaku dan bersyukur keadaan kembali terkawal setelah pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) hadir memantau keadaan,” katanya sewaktu ditemui media di sini semalam.
Sementara itu, pengawal keselamatan, Wan Yazli Radzi, 43, berkata, pihaknya terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Parit Buntar dan TNB bagi melaporkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, keadaan menjadi terkawal dengan kehadiran jentera bomba yang bertindak mengawal kebakaran kecil itu dan melakukan pemeriksaan tahap keselamatan sistem pendawaian di situ bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Sebelum ini kerja-kerja pemasangan dan pendawaian elektrik dan saluran paip air dilakukan oleh MDK sejak enam bulan lalu melalui sebuah syarikat kontraktor tempatan yang dilantik.
"Ia sempena kerja-kerja membaik pulih bumbung serta infrastruktur Hentian Raya Bas Parit Buntar. Bagaimanapun, masalah pendawaian elektrik dan kebocoran berlaku walaupun kerja-kerja membaik pulih baru dijalankan.
Katanya, diharap pihak MDK menyiasat kembali punca masalah itu demi keselamatan pengguna.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan