28 Jun 2012

Pakatan Rakyat Bawa Perubahan Di Sabah

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Penubuhan Pakatan Rakyat(PR) selepas tahun 2008 membuka peluang cerah untuk membawa perubahan di Sabah memandangkan dalam pilihan raya sebelum ini pembangkang bertanding sesama sendiri.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu berkata, PR berpeluang untuk menambah sekurang-kurangnya lapan kerusi dan beliau percaya Sabah bukan lagi simpanan tetap kepada Umno-BN.

Katanya, rakyat bersedia untuk membuat perubahan memandangkan selama ini Umno-BN hanya mahukan undi rakyat Sabah semata-mata dan mengabaikan pembangunan untuk keselesaan rakyat.

“Kerajaan hanya fikir untuk mendapatkan undi rakyat Sabah. Tetapi rakyat Sabah mahu peluang ekonomi dan pekerjaan,” katanya.

Menurutnya lagi, perkara utama yang dilakukan Pakatan adalah menembusi kawasan pedalaman yang masih ketinggalan dari pelbagai aspek terutamanya capaian maklumat dan infrastruktur.

Jelasnya, masyarakat Sabah terutamanya di kawasan pedalaman masih belum mengerti tujuan memangkah pada kertas undi dan ini merupakan perkara asas yang perlu diberikan perhatian.

“Kita mesti cuba fahamkan apakah tujuan mereka letak tanda X (pangkah) pada kertas undi supaya mereka faham tidak membuat kesilapan memilih pemimpin. Selain itu kita juga terpasa mengedarkan risalah dan VCD supaya mereka faham,” katanya ketika ditemuramah untuk program Fokus Isu terbitan Tv Selangor.

Beliau menambah, masih banyak kawasan di pedalaman Sabah yang tidak mempunyai jalan raya dan infrastruktur sempurna meskipun lebih 50 tahun dibawah pimpinan Umno-BN.

Menurutnya lagi, sikap kerajaan persekutuan yang lebih menggalakkan pelabur berurusan di semenanjung serta menjadikan alasan ‘kekurangan kemudahan’ membuatkan pembangunan di Sabah semakin ketinggalan.

Tegas beliau, perkara ini mampu diselesaikan dengan hanya satu cara, memilih Pakatan Rakyat menerajui kerajaan persekutuan.

selangorku/-

Tiada ulasan: